fbpx

Misha Omar kongsi detik cemas jadi mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISHA OMAR

PETALING JAYA – Penyanyi versatil Misha Omar berdepan detik cemas dan mendebarkan selepas terkandas dalam bencana banjir yang membadai ibu negara sejak semalam.

Misha ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi berkata, kejadian tersebut dilaluinya usai membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Drama Sangat (ADS) 2021 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam tadi.

“Saya dan kakak yang merupakan pengurus dimaklumkan air banjir sudah mula memasuki dan melimpahi kawasan parkir WTC hingga ke paras buku lali.

“Tanpa fikir panjang dan dalam keadaan serba kelam kabut, saya terus redah dan harung air banjir dengan heels (kasut tumit tinggi) sampai ke kereta dan segera keluar dari situ.

“Kalau ikutkan perancangan, saya dan keluarga mahu bermalam di hotel berhampiran, tapi dapat maklumat air banjir mula naik di sekitar WTC, terus tak jadi dan fikir nak selamatkan nyawa serta cepat-cepat keluar dari situ saja,” katanya.

Tambah pelantun lagu Tanpa Rela itu lagi, dia yang ditemani suami serta anak lelakinya sekali lagi diuji apabila terkandas di hadapan pusat beli belah Sogo ekoran air dari sungai berdekatan melimpah keluar ke atas jalan.

“Kami terperangkap di situ lama juga lebih setengah jam sebab kenderaan tidak dapat bergerak dengan lancar. Air melimpah di atas jalan.

“Tapi syukur ke hadrat Ilahi, kami dan pengguna jalan raya lain semuanya selamat dan tiada sebarang kecederaan atau korban nyawa berlaku,” ujarnya yang tidak pernah menduga akan menjadi salah seorang rakyat di negara ini berdepan detik mencemaskan itu.

Terdahulu, siaran langsung ADS2021 malam tadi terpaksa dihentikan dan ditangguh serta merta berikutan bencana banjir yang semakin memburuk di sekitar Lembah Klang.

Kosmo! Online hari ini melaporkan lebih 14,000 mangsa banjir di seluruh dengan 228 pusat pemindahan sementara dibuka melibatkan enam negeri terlibat iaitu Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI