fbpx

Vape ‘terapi’ ganti rokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Satu kajian mendapati rokok elektronik atau vape boleh dianggap sebagai satu terapi penggantian nikotin melalui kaedah pengurangan kemudaratan tembakau yang berkesan bagi membantu perokok berhenti merokok.

Perkara ini telah dibentangkan, Pakar Kesihatan Awam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh dalam persidangan pengurangan kemudaratan tembakau (THR) anjuran Federation of Private Medical Practitioners Associations Malaysia (FPMPAM) baru-baru ini.

Menerusi pembentangan tersebut, Sharifa Ezat memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan pengurangan jumlah perokok di Malaysia sebanyak 15 peratus menjelang 2025 dan bebanan negara kepada penyakit berkaitan rokok adalah sangat tinggi.

“Untuk mencapai sasaran tersebut, kerajaan perlu menyusun strategi dan melihat kaedah-kaedah yang telah diguna pakai negara antarabangsa serta terbukti berkesan sebagai contoh rokok elektronik sebagai salah satu kaedah terapi penggantian nikotin.

“Adakah dengan menaikkan cukai kepada rokok akan menyelesaikan masalah kesihatan negara ini? Tindakan ini hanya akan menyebabkan pengguna mencari alternatif kepada produk tembakau yang lebih murah termasuk produk tembakau tanpa cukai atau rokok seludup yang merupakan satu masalah kepada negara,” katanya.

Antara produk e-rokok yang boleh didapati di pasaran. Gambar hiasan

Sharifa Ezat berkata, ketika ini Malaysia mempunyai kaedah rawatan penggantian nikotin seperti gula-gula getah, kaedah tampalan dan lozenges.

Bagaimanapun katanya, terdapat negara yang menggunakan vape dan telah berjaya menurunkan kadar merokok dengan konsisten.

“Malaysia harus melihat dan mengambil contoh negara-negara yang telah mengiktiraf vape sebagai salah satu terapi penggantian nikotin dan juga kaedah THR sebagai contoh di United Kingdom (UK).

“Trend merokok telah menurun di UK selepas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) mempromosikan vape melalui kawal selia yang ketat dan piihak kesihatan di UK berpendapat, vape adalah penyumbang utama kepada penurunan kadar merokok di negara itu,”ujarnya.

Mengulas lanjut, Sharifa Ezat mencadangkan supaya Malaysia mengikut jejak langkah UK melalui kerjasama di antara pelbagai kementerian.

Produk vape bernikotin semakin popular dalam kalangan perokok dalam usaha menghentikan ketagihan merokok. – Gambar hiasan

Pada masa sama katanya, pengharaman rokok dan vape bukanlah satu alternatif yang terbaik kerana tindakan tersebut akan menimbulkan satu masalah lain sebagai contoh pasaran haram dan juga menyekat pilihan produk penggantian pengguna.

“Regulasikan e-rokok bernikotin dengan kawalan ketat ke semua lapis pengguna, wujudkan perundangan, penguat kuasaan kepada pengeluaran, pelabelan dan pengiklanan.

“Laksanakan juga amalan pengilangan yang baik dan wujudkan latihan standard untuk kegunaan penjual,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI