fbpx

Banjir : Tiga PPS di buka, 33 orang dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba membersihkan pokok yang tumbang menghempap sebuah rumah di Beserah di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seramai 33 orang daripada 11 keluarga dari tiga buah kampung di daerah ini dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila kediaman mereka dinaiki air selepas hujan lebat berterusan sejak semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, dua PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang dan SK Beserah, di sini.

“Setakat pagi tadi, seramai 24 orang daripada sembilan keluarga dari Jalan Sungai Soi, Kampung Kempadang, di sini, telah dipindahkan ke PPS SK Kempadang manakala di PPS SK Beserah membabitkan sembilan orang daripada dua keluarga masing-masing dari Kampung Rumbia Beserah dan Kampung Bugis, di sini.

“Manakala Jalan Kampung Jawa, di sini, juga dilaporkan dinaiki air namun tiada mangsa yang dipindahkan dan air telah pun surut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, beberapa kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di lima lokasi di daerah ini termasuk dua kejadian pokok tumbang menghempap rumah di Beserah, di sini.

“Akibat kejadian itu, dua mangsa mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk menerima rawatan manakala satu lagi kejadian tidak membabitkan mangsa,” katanya.

Sementara itu, menerusi laman web rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), dua sungai iaitu Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis dan Sungai Lembing, di sini telah melebihi tahap bahaya iaitu masing-masing 83.78 meter dan 37.54 meter. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI