Laluan Harimau Malaya untuk ke separuh akhir Piala AFF Suzuki makin berliku dan perlu memastikan kemenangan ke atas Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B, 19 Disember ini.
Ia berikutan skuad negara tewas 3-0 pada aksi ketiga menentang juara bertahan, Vietnam di Stadium Bishan, Singapura, sebentar tadi.
Aksi ulangan final edisi 2018 ini, ‘tiga Nguyen’, Nguyen Quang Hai, Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Hoang Duc memastikan malam gemilang buat Vietnam.
Vietnam memulakan babak pertama dengan cukup agresif apabila lebih banyak bermain di kawasan Malaysia dan turut pantas memberi tekanan setiap kali hilang bola.
Minit ke-31, kegagalan pemain negara mengeluarkan bola dari kawasan bahaya mengundang padah apabila Vietnam berjaya membuka jaringan perlawanan menerusi Nguyen Quang Hai.
Selang dua minit, peluang terbaik diperoleh Luqman Hakim Shamsudin namun aspek ketenangan menyekat usaha pasukan negara meraih gol penyamaan.
Corak hantaran mudah yang dimainkan skuad Naga Emas nyata cukup merbahaya dan minit ke-36, Nguyen Cong Phuong serlahkan kemahiran individu untuk menghasilkan gol kedua Vietnam.
Harimau Malaya memulakan babak kedua dengan lebih agresif sebaliknya Vietnam terus kekal berdisiplin menutup ruang dan menghalang gerakan diatur Malaysia.
Minit ke-68, selepas kecederaan Aidil Zafuan Abd Radzak di babak pertama, Malaysia kehilangan pertahanan tengah buat kali kedua dan kali ini giliran Shahrul Saad terpaksa dikeluarkan.
Ketika Malaysia berusaha memburu jaringan, minit ke-89, Nguyen Hoang Duc terus mematikan perjuangan skuad negara apabila meledak gol ketiga Vietnam. – K! ONLINE














