fbpx

500,257 individu dapat kerja melalui 27 inisiatif kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebanyak 500,257 pencari kerja telah berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata, ia sekali gus melangkaui sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui Bajet 2021.

“Kejayaan ini lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan Covid-19 sejak Mac 2020, sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PenjanaKerjaya 2.0 telah berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja, melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 ribu peluang pekerjaan bagi tahun 2021.

Katanya, PenjanaKerjaya dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan insentif penggajian sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada pekerja sehingga RM7,000.

Selain itu, katanya, MySTEP yang merupakan inisiatif Kerajaan dengan nilai RM700 juta telah berjaya melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021.

Jelasnya, ia menempatkan seramai 61,328 orang pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Dari jumlah tersebut, seramai 41,680 orang pekerja telah berjaya ditempatkan di sektor awam manakala 19,648 orang pekerja pula ditempatkan di GLC dan rakanrakan strategik mereka.

“Di bawah program tersebut, pemohon telah ditempatkan di pelbagai Kementerian dan Agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Petronas, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sejak program PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP mula dilaksanakan pada bulan Januari 2021, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan yang ditetapkan.

“Selain dari PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

“Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI