fbpx

Geng Yuva aktif samun, pecah kenderaan tersungkur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafa'aton menunjukkan barangan hasil rampasan menerusi Ops Khas Kuang di IPD Sungai Buloh hari ini. - FOTO AFIQ RAZALI

SUNGAI BULOH – Kegiatan jenayah sindiket dikenali sebagai ‘Geng Yuva’ yang aktif melakukan samun ke atas premis perniagaan termasuk pecah kenderaan di sekitar Sungai Buloh tidak berpanjangan selepas berjaya ditumpaskan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, seramai tiga lelaki tempatan yang merupakan ahli sindiket itu berjaya ditahan dalam tangkapan berasingan menerusi Ops Khas Kuang dijalankan pada 28 November hingga 3 Disember lalu.

“Kesemua suspek berusia 20 hingga 30-an ditahan kerana terbabit dalam kes samun premis perniagaan dan pecah masuk klinik kesihatan menggunakan kenderaan curi di tiga buah lokasi berbeza di sekitar kawasan Kuang bermula September lalu sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM10,000.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah melancarkan operasi dan menahan kesemua suspek yang disyaki terlibat dalam kes terbabit di sekitar Sungai Buloh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini hari ini.

Menurut Shafa’aton, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyasarkan kedai runcit dan rumah serta menggunakan kenderaan yang dicuri untuk melakukan kesemua aktiviti itu.

“Menerusi kes pertama, suspek akan menyamar sebagai pelanggan sebelum kembali dengan memakai topi keledar berwarna merah dan jaket oren bagi menyembunyikan sebilah parang dan menyamun mangsa.

“Suspek juga akan bertindak menjual kesemua barang hasil kegiatan samun dan pecah rumah bagi mendapatkan wang tambahan,” katanya.

Jelas beliau, penahanan kesemua suspek, polis percaya berjaya merampas barangan hasil samun dan menyelesaikan 10 kes samun lain melibatkan sembilan kes di Sungai Buloh serta satu kes di Gombak.

“Polis telah merampas sebuah kereta jenis Proton Wira, beg sekolah, tablet, sebuah televisyen, monitor komputer, telefon bimbit dan beberapa peralatan dipercayai untuk pecah rumah.

“Kesemua suspek telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI