fbpx

[VIDEO] ‘Buka pintu, lalat masuk dalam seluar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK menunjukkan lalat yang berjaya dimatikan menggunakan kertas perangkap serangga di Kampung Lembah Jaya, Bentong kelmarin.

BENTONG – Nikmat kehidupan dan ketenangan tinggal di kampung kini tidak lagi dirasai oleh kira-kira 300 penduduk di Kampung Lembah Jaya di sini gara-gara serangan lalat sejak dua tahun lalu.

Situasi menggelikan itu tidak hanya dialami di kampung ber­kenaan, malah kewujudan lalat dalam jumlah yang banyak turut berlaku di kampung berhampiran seperti di Kampung Ampang dan Kampung Hayat di sini.

Akibat ‘serangan’ lalat itu mengakibatkan kira-kira 60 buah rumah di Kampung Lembah Jaya terpaksa ditutup 24 jam sekali gus menjadi seperti sebuah perkampungan kosong.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kewujudan lalat di kampung berkenaan sangat luar biasa apabila semua kawasan sama ada rumah dan tempat awam se­perti surau dan pondok bas turut dipenuhi serangga tersebut.

Lebih memeritkan apabila lalat berkenaan akan memasuki seluar atau kain yang dipakai penduduk setiap kali pintu rumah dibuka.

Seorang penduduk Azman Latip, 43, berkata, serangan lalat luar biasa itu berlaku sejak dua tahun lalu, menyebabkan penduduk berasa resah dan hilang ketenangan hidup di kampung sendiri.

Katanya, penduduk bagaikan terkurung di dalam rumah ma­sing-masing apabila terpaksa menutup tingkap dan pintu semata-mata untuk mengelak serangan lalat.

“Keadaan lebih teruk jika ada anak kecil dan orang uzur, pernah saya keluar rumah ke kedai dan terlupa tutup tingkap, apabila balik, saya lihat lantai bilik kehitaman dipenuhi lalat dan bapa saya yang uzur dan terba­ring akibat lumpuh turut dihurung serangga pengotor itu.

“Lalat-lalat ini tidak akan berkurangan walau dibunuh menggunakan racun penyembur. Jika hujan dan waktu malam, dinding rumah dan wayar elektrik akan kelihatan hitam akibat dikerumi lalat,” katanya.

KEADAAN dapur seorang penduduk yang dipenuhi lalat.

Seorang lagi penduduk, Ismail Zainal, 60, berkata, kewujudan lalat yang banyak sememangnya amat mengganggu kehidupannya serta memberi ancaman kepada kesihatan.

Ismail yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, ada kalanya dia tidak dapat mengelak daripada termakan serangga ber­kenaan ketika menjamah nasi memandangkan jumlah lalat yang terlalu banyak.

“Saya tidak nampak lalat dan ketika makan saya hanya libas-libas tangan dan mengharapkan lalat tidak ada di atas pinggan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Jamri Wan Ismail, 44 mendakwa, lalat berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah ladang penternakan ayam yang terletak kira-kira 150 meter daripada rumah penduduk kampung.

Katanya, meskipun telah ba­nyak aduan dibuat kepada pihak berkuasa termasuk veterinar dan juga pihak pengurusan, namun tiada tindakan dilakukan sehingga hari ini.

“Saya difahamkan, ternakan ayam ini telah diusahakan hampir 10 tahun lalu, tetapi selepas diambil alih pengurusan baharu, kewujudan lalat di kampung mula bertambah.

“Kami bukannya mahu ladang ditutup, namun perlu ada tindakan berkesan bagi mengurangkan masalah berkenaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI