fbpx

Rempuh SJR sebab takut cukai jalan tamat tempoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bahagian depan kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki dua suspek rosak selepas merempuh SJR Sri Tujuh, Tumpat semalam

TUMPAT – Dua lelaki bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya (SJR) Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sri Tujuh di sini semalam selepas dipercayai takut ditahan ekoran cukai jalan kereta yang dinaiki mereka tamat tempoh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 23 dan 30 tahun ditahan empat kilometer dari SJR selepas dikejar pihak polis.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan mendapati, anggota PGA sedang bertugas di SJR Sri Tujuh di sini sebelum menyedari kehadiran sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki dua lelaki.

Menurutnya, apabila tiba di SJR itu, pemandu kereta terbabit bertindak merempuh papan tanda sekatan jalan sebelum memecut dan melarikan diri.

“Anggota PGA yang bertugas kemudian meminta bantuan pihak polis sebelum berjaya mengesan kereta terbabit empat kilometer dari lokasi SJR.

“Pemeriksaan mendapati, pemandu itu bertindak merempuh SJR kerana cukai jalan kereta berkenaan telah tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Azmir, kedua-dua suspek berasal dari Kota Bharu dan Tumpat selain masing-masing mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkait dadah.

Ujarnya, berdasarkan pemeriksaan,salah seorang suspek merupakan orang yang dikehendaki polis di Johor kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Polis 1967 kerana merempuh SJR dan Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI