fbpx

‘Jika kamu buat, saya rakam dan lapor polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar perkongsian seorang bilal menegur pekerja di sebuah kedai serbaneka yang ingin menguruskan transaksi penjualan arak.

PETALING JAYA – Seorang bilal berkongsi mengenai tegurannya kepada seorang juruwang muslim yang ingin menguruskan transaksi penjualan arak di sebuah kedai serbaneka.

Melalui perkongsian Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Bangi, Bilal Jailani di laman Facebooknya semalam, kejadian berlaku ketika dia sedang beratur untuk membuat pembayaran sebelum menyedari kehadiran seorang warga asing yang menunggu giliran untuk membayar enam tin arak.

“Selesai membayar, saya bertanya kepada juruwang itu adakah dia menguruskan transaksi arak tersebut.

“Saya bagitahu dia, jika awak meneruskan transaksi itu, saya akan rakam dan membuat laporan polis. Di Selangor, jual arak adalah jenayah syariah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Tambah beliau, dia turut memaklumkan kepada warga asing itu bahawa juruwang yang bertugas tersebut tidak boleh meneruskan jualan ke atas barangan yang dibeli disebabkan dia beragama Islam.

“Kemudian seorang lagi pekerja datang dan memaklumkan kepada saya bahawa mereka juga tidak mahu menjual arak itu tetapi ia merupakan tugas kerja yang perlu diikuti,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu kepada mereka bahawa pihak majikan tidak boleh mengarahkan pekerja Islam melakukan sesuatu kerja yang bercanggah dengan undang-undang negara.

“Anda juga tidak boleh buat kerja yang melanggar undang-undang negara, walaupun ia tertulis dalam kontrak pekerjaan anda,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan perkara itu kepada pengurus kedai agar transaksi tidak dijalankan dan mereka akan melaporkan perkara ini kepada pihak atasan untuk tindakan selanjutnya.

“Ini adalah kali keempat saya menegur juruwang muslim berkenaan jualan arak di kaunter pembayaran. Alhamdulillah, berjaya halang satu kemungkaran,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI