fbpx

Ibu kandung, bapa angkat terjahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paip plastik yang dipercayai digunakan suspek untuk mendera mangsa ditemui di atas sofa di rumah sewa mereka di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri kelmarin.

ISKANDAR PUTERI – Sungguh menyayat hati apabila seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan dan kesengsaraan selama lebih lima bulan apabila didera oleh ibunya sendiri dan bapa angkat di sebuah rumah di Taman Nusa Bes­tari di sini.

Penderitaan yang ditanggung kanak-kanak berusia lima tahun itu berakhir apabila mangsa ‘dijemput’ Ilahi ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kelmarin.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 12.20 tengah hari ketika dibawa ibunya yang berusia 32 tahun itu untuk mendapatkan rawatan kecemasan di hospital tersebut.

Difahamkan, ibu mangsa tidak mempunyai pekerjaan, manakala bapa angkat iaitu teman lelaki wanita terbabit pula merupakan seorang pemandu lori. Mereka juga dipercayai masih belum berkahwin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa dipercayai mati akibat didera ibu kandung serta teman lelakinya yang berumur 35 tahun sejak Jun lalu di rumah sewa mereka di Taman Nusa Bestari di sini.

Paip plastik yang digunakan suspek yang diletakkan atas sofa di rumah berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu terbongkar selepas pihak hospital menghubungi polis apabila mengesan terdapat kesan lebam pada anggota badan kanak-kanak tersebut selain kecederaan pada mulut mangsa dipercayai akibat didera.

“Berdasarkan laporan itu, pasukan penyiasat Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kemudian melakukan siasatan dan pemeriksaan di rumah suspek.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui getah paip di sinki di dalam bilik air, batang kayu dan paip plastik di atas sofa serta kesan darah di kediaman tersebut. Kesemua barang kes itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dzulkhairi memberitahu, ibu kandung mangsa telah ditahan di HSA, manakala kekasih wanita terbabit pula diberkas di tempat tinggal mereka di Taman Nusa Bestari di sini bagi membantu siasatan.


Kesan darah turut ditemui pasukan penyiasat Unit Forensik ketika pemeriksaan dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kanak-kanak tersebut tinggal bersama ibu dan bapa angkatnya selain seorang kakak serta adiknya.

Kakak dan adik mangsa juga telah dihantar ke HSA untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sekiranya wujud unsur-unsur penderaan ke atas mereka.

“Kakak serta adik si mati masih lagi dalam pemeriksaan dan pengawasan pihak hospital.

“Bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 kanak-kanak itu diperoleh,” katanya.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Selain itu, kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI