fbpx
PATUNG gangsa yang digelar Just Once Again turut diletakkan di atas jambatan itu untuk mencegah kejadian bunuh diri dalam kalangan rakyat Korea Selatan.

Keunikan cara Korea Selatan bendung bunuh diri terjun jambatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTAK berlampu dengan tulisan hitam tertera frasa ‘saya sayang awak’ dapat dilihat dengan jelas bagi sesiapa sahaja yang melalui Jambatan Mapo, Seoul, Korea Selatan.

Kata-kata ringkas itu mungkin nampak biasa, tetapi mempunyai maksud mendalam bagi mereka yang berhasrat untuk membunuh diri.

Sejak dahulu lagi, kadar bunuh diri di Korea Selatan sangat tinggi dan kebiasaannya, jambatan dijadikan sebagai lokasi penamat riwayat hidup.

Untuk rekod, lebih 1,090 orang terjun dari Jambatan Mapo antara 2003 hingga 2011 untuk membunuh diri.

Merupakan salah satu daripada 27 jambatan merentasi Sungai Han, ia begitu popular kerana keindahan pemandangannya.

Bagaimanapun, jumlah kes bunuh diri yang tinggi di kawasan tersebut menyebabkan ia digelar sebagai Jambatan Maut (The Bridge of Death) dalam kalangan penduduk setempat.

Bimbang situasi semakin parah dan dijadikan sebagai norma biasa masyarakat, sebuah syarikat swasta, Samsung Life Insurance bersama Majlis Bandar Raya Seoul mengambil inisiatif memperkenalkan kempen Bridge of Life pada 26 September 2012.

SEBANYAK 2,200 lampu dengan frasa kata-kata ‘saya sayang awak’ dan pelbagai pertanyaan prihatin dan motivasi dipasang pada jambatan sepanjang 1.8km itu.

Pengerusi Kesatuan Pencegahan Bunuh Diri Korea, Park Young-ki berkata, usaha menggunakan frasa kata-kata semangat dan motivasi yang diletakkan di sepanjang Jambatan Mapo itu mampu membendung kejadian bunuh diri.

“Mesej-mesej di pagar jambatan dipilih dan disusun dengan teliti oleh sekumpulan pakar psikologi dan pakar pencegahan bunuh diri.

“Ia bertujuan mengurangkan ketegangan jiwa, selain mampu membuatkan individu berehat dan berfikir dalam keadaan santai.

“Selain frasa sayang, mereka turut menyelitkan soalan-soalan lucu dan teka-teki seperti ‘Tahukah anda, semua gorila mempunyai jenis darah B?’ atau ‘Awak dah makan ke belum?’.

“Kami lihat usaha itu membuahkan hasil,” katanya.

Memetik laporan beberapa sumber, inisiatif tersebut dilakukan selepas kematian seorang aktivis yang lantang memperjuangkan hak golongan lelaki di negara tersebut, Sung Jae-gi yang terjun dari jambatan itu pada 26 Julai 2013.

Anak kelahiran Daegu, Korea Selatan itu dipercayai nekad berbuat demikian dalam usaha menarik perhatian pihak berkuasa berhubung isu ketidaksamaan layanan terhadap golongan lelaki.

Walaupun kerja-kerja mencari dan menyelamat dijalankan secara meluas di Sungai Han sejurus lelaki itu terjatuh, namun mayat lelaki malang itu hanya ditemui pada 29 Julai 2013.

Peristiwa itu membuka lembaran baharu bagi kerajaan Korea Selatan dan Bridge of Life diperkenalkan.

POTRET keluarga bahagia turut digunakan dengan harapan individu yang cenderung membunuh diri dapat berfikir secara rasional.

Kaedah kreatif, tetapi mampu menyentuh jiwa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini itu menggabungkan pengalaman interaktif bersama perasaan gembira dengan kata-kata penuh harapan buat pejalan kaki di jambatan tersebut.

Menggunakan 2,200 lampu yang dipasang pada frasa ayat-ayat tersebut, mesej-mesej itu terpampang pada papan diod pemancar cahaya (LED) di sepanjang laluan 1.8 kilometer (km).

Menurut The Inspiration Room, dengan frasa seperti ‘Saya sayang awak, ‘Yang terbaik belum datang, ‘Jom berjalan bersama’ dan lain-lain, ia disifatkan mampu merangsang perasaan tenang pada individu dan membuatkan mereka berfikir dengan waras.

Selain itu, mereka turut memasang telefon awam kecemasan di situ.

Turut diselitkan ratusan potret keluarga bahagia seperti gambar bayi, datuk, nenek dan pasangan muda yang tersenyum gembira.

Di tengah jambatan pula terdapat patung gangsa bersaiz sebenar seorang lelaki muda dan tua di atas bangku digelar Just Once Again.

“Dengan melihat frasa atau imej yang mereka suka, ia boleh membantu mengenali diri sendiri.

“Ada dalam kalangan mereka yang cuba membunuh diri, tetapi sebenarnya mahu dihalang seseorang. Jadi, kaedah ini memang membantu,” tambahnya.

Di awal inisiatif itu, pihak kerajaan mendedahkan, terdapat penurunan kes sebanyak 77 peratus dan ia menjadi tarikan pelancong yang popular.

Begitupun, pada 2015, inisiatif tersebut mula mendapat kritikan ramai.

SEBUAH pondok telefon kecemasan diletakkan pada jambatan tersebut.

Menurut Pakar Psikiatri di Pusat Perubatan Nasional, Seoul, Dr. Kim Hyun-chung, kaedah itu lebih membuatkan individu terdetik untuk membunuh diri.

“Ini terutamanya, pada potret keluarga bahagia, ia mungkin membuatkan seseorang menjadi bertambah sedih jika mereka baru kehilangan orang tersayang.

“Ia membuatkan mereka berasa rindu dan ingin ‘pergi’ bersama mereka. Lantaran itu, mereka akhirnya tetap nekad membunuh diri,” ujarnya.

Kritikan hebat yang diterima menyebabkan slogan, lampu pencegahan bunuh diri dan patung-patung dimusnahkan pada 9 Oktober 2019 sebelum dipasang tembok penghadang.

Gagal pada percubaan pertama menggunakan bahan interaktif biarpun banyak negara luar seperti Filipina mahu mencontohi kaedah itu, kerajaan Korea Selatan mengambil inisiatif baharu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menangani masalah bunuh diri dalam kalangan rakyatnya pada 2020.

Lebih-lebih lagi pada tahun 2019 sahaja, kira-kira 500 percubaan bunuh diri dilaporkan di 27 jambatan di Seoul.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan populasi 52 juta orang pada 2019, Korea Selatan mempunyai kadar bunuh diri tertinggi apabila menduduki tangga ke-10.

Bimbang dengan trend itu, Seoul Institut of Technology dengan kerjasama kerajaan memasang televisyen litar tertutup (CCTV) dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) di setiap tiang di sepanjang sungai.

CCTV dipasang di sekitar Jambatan Mapo.

Menurut ketua penyelidiknya, Kim Jun-chul, teknologi itu memudahkan proses pengesanan pergerakan badan seperti mengenal pasti sama ada seseorang sedang merancang untuk membunuh diri atau tidak.

“Sejak April 2020, sistem AI telah menganalisis corak pergerakan individu di kawasan sekitar, yang mana rakaman telah dikatalog dan dikategorikan untuk kegunaan pada masa depan.

“Jika sistem ada meramalkan keadaan berbahaya, ia segera menghantar isyarat kepada pasukan penyelamat untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Diaplikasikan bermula Oktober lalu, kaedah itu bagaimanapun masih di peringkat percubaan.

Ketua Briged Penyelamat Seoul, Kim Hyeong-Gil berkata, kebanyakan percubaan ini dilakukan oleh golongan muda berumur 20 hingga 30 tahun.

Katanya, pandemik Covid-19 yang membuatkan ramai terkesan ‘merancakkan’ lagi perbuatan bunuh diri, terutama di sekitar jambatan itu.

“Kami percaya, CCTV baharu akan membolehkan kru mengesan kes dengan lebih pantas dan membantu kami membuat panggilan lebih cepat.

“Bagaimanapun, ia boleh menjadi sangat mencabar bagi pasukan pengawasan manusia terlatih untuk menyimpulkan sama ada seseorang itu hanya termenung sambil mengagumi pemandangan atau menimbang untuk membunuh diri,” katanya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN