fbpx
Khairy Jamaluddin.

KKM akan laksanakan kempen vaksinasi lebih agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan kempen lebih agresif bagi memastikan mereka yang layak menerima vaksin Covid-19 untuk segera melengkapkan suntikan dos tersebut.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu termasuk menjalinkan kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pemberian vaksin kepada mereka yang belum mendapatkannya.

“Kita akan bekerjasama dengan NGO untuk memastikan dalam kalangan pekerja asing yang mungkin kerisauan belum mendapatkan vaksinasi termasuk rakyat kita yang belum divaksin.

“Justeru, kita akan buat kempen agresif terlebih dahulu untuk memudahkan mereka mendapatkan dos vaksinasi pertama dan kedua,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Berdasarkan data pada laman web CovidNow hari ini, seramai 1,031,946 orang dewasa berusia 18 tahun ke atas belum mendapatkan vaksinasi Covid-19 untuk dos pertama dan kedua.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, KKM juga akan memperhebatkan lagi kempen pemberian dos penggalak melalui penambahan kapasiti seperti yang pernah diumumkan beberapa hari lalu.

“Selain itu, kempen kesedaran untuk memastikan rakyat tahu betapa pentingkan untuk mendapatkan dos penggalak. Pada minggu depan, kita akan berbincang (berkenaan dos penggalak) dan sekiranya didapati ada keperluan, akan membuat pengumuman status vaksinasi penuh yang memerlukan dos penggalak,” ujarnya.

Tambah beliau, buat masa ini, KKM menetapkan sasaran 75 peratus daripada penerima dos lengkap untuk mendapatkan dos penggalak. – K! ONLINE

POPULAR