fbpx

TNB sedia pelbagai inisiatif bantu vendor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM Pembangunan Vendor telah berjaya menambah jumlah pengilang, pengeluar dan pembekal sekali gus memberi ruang selain membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bagi menyokong dasar kerajaan untuk memperkasakan bumiputera, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memperkenalkan Program Pembangunan Vendor yang memperuntukkan minimum 30 peratus perolehan kepada syarikat bumiputera.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, program tersebut telah menjadi pemangkin kepada usahawan serta penyelidik yang menawarkan produk berasaskan inovasi.

Menurut beliau, menerusi program itu juga telah meningkatkan jumlah pengilang atau pengeluar (OEM) serta pembekal perkhidmatan tempatan.

“Keberhasilan dasar oleh TNB ini menyaksikan pertumbuhan 20 peratus OEM berbanding tahun 2017, melibatkan 871 (41%) vendor bumiputera, 841 (39%) bukan bumiputera dan 425 (20%) syarikat subsidiari.

“Daripada 2,137 syarikat tempatan kategori OEM yang berdaftar sebagai vendor TNB, 90 peratus daripadanya tertumpu kepada pembekalan dan perkhidmatan bagi empat kategori produk iaitu kabel, pencawang, talian atas, peralatan sekunder dan telekomunikasi,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Mengulas lanjut, Baharin menjelaskan, selain Program Pembangunan Vendor, TNB turut memperkenalkan beberapa inisiatif lain bersama OEM seperti projek pemetaan Geographic Information System (GIS).

Baharin

“Projek ini menyaksikan 25 syarikat dibangunkan dengan keupayaan teknologi pemetaan data untuk aset-aset TNB.

“Selain itu, projek penggantian lampu awam dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) turut memberi peluang kepada pembekal dan pengilang tempatan untuk tampil dengan produk berteknologi tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau dengan adanya inisiatif seperti ini, ia telah menyumbang kepada kegiatan ekonomi untuk dikongsi bersama pembekal selaras dengan hasrat kerajaan dalam menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 melalui Dasar Keusahawanan Nasional.

“Usaha merancakkan ekonomi ketika ini sangat perlu bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan impak pandemik Covid-19.

“Inisiatif ini sangat bertepatan kerana ia membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Baharin berkata, meskipun berhadapan situasi mencabar, TNB kini rancak mengorak langkah menjadi peneraju peralihan industri tenaga daripada penjanaan berasaskan bahan api fosil kepada tenaga boleh baharu.

Namun, katanya, perubahan kepada sumber tenaga yang lebih mampan ini memerlukan revolusi sistem pembekalan elektrik untuk menampung perubahan ekosistem tenaga.

“Evolusi ini banyak berunsurkan teknologi pintar yang meliputi seluruh rangkaian perkhidmatan merangkumi sumber tenaga, penghantaran dan pembahagian,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI