fbpx
Majlis penyampaian sumbangan set tuala wanita dan produk sanitasi berlangsung di Dewan Masyarakat Desa Taman Batu Muda, Batu Caves semalam.

287 pelajar perempuan terima produk sanitasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seramai 287 pelajar perempuan dari 20 buah sekolah di sekitar Sentul menerima produk sanitasi wanita di bawah Program Kesedaran Kemiskinan Haid di Dewan Masyarakat Desa Taman Batu Muda, Batu Caves di sini semalam.

Presiden Muafakat Keluarga Prihatin Malaysia (MKPM), Datin Seri Ismalina Ismail telah menyampaikan sumbangan 287 set tuala wanita dan produk sanitasi kepada para pengetua sekolah dari daerah Sentul pada program itu.

Program anjuran MKPM dengan kerjasama Sanitary Bank Malaysia (SBM) itu juga mendapat kerjasama Athena Empowers yang menyediakan 250 set tuala wanita ‘washable’ yang boleh digunakan berulang kali selama tiga hingga lima tahun.

SBM dalam satu kenyataan semalam berkata, produk itu bukan sahaja akan membantu para penerima dari segi kewangan, malah memupuk penjagaan sanitasi wanita secara “sustainable”.

Ini merupakan projek kedua MKPM dan SBM selepas berjaya memberi sumbangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir, Kuantan, Pahang pada Oktober lalu.

“Program ini juga akan diteruskan oleh pihak Athena Empowers dengan kerjasama PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Sentul untuk menganjurkan ceramah dan program kesedaran untuk mendidik pelajar perempuan tentang kepentingan penjagaan kebersihan diri sewaktu haid.

“Fokus SBM adalah untuk mendidik masyarakat dengan tiga fokus utama iaitu Eradicate (membasmi), Educate (mendidik) dan Aware (memberi kesedaran),” katanya.

Menurut kenyataan itu, MKPM dan SBM komited untuk melangsungkan projek ini untuk menyemarakkan kesedaran tentang kemiskinan haid yang dialami oleh wanita muda Malaysia terutamanya golongan pelajar sekolah di kawasan pedalaman dan B40.

Katanya, MKPM dan SBM berterima kasih kepada Persatuan Permuafakatan Sentul sebagai rakan strategik dan Athena Empowers sebagai penaja rasmi serta PPD Sentul yang telah bersama-sama menjayakan program itu. – K! ONLINE.

POPULAR