PETALING JAYA – Tindakan seorang guru wanita mengajar anak murid orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan melangkah longkang agar dapat berjalan tanpa tersilap langkah meruntun hati banyak pihak.
Keprihatinan cikgu tersebut dikongsi oleh seorang pekerja kantin di sebuah sekolah pendidikan khas.
“Pelajar bernama Sofia ini merupakan anak yatim dan mempunyai seorang abang juga ibu sedara yang baik,” ujarnya.
Video itu memaparkan guru wanita tersebut menunggu Sofia untuk melangkah longkang dan memberikan kata-kata semangat untuk memastikan pelajar itu berjaya berbuat demikian.
Guru itu bersama rakan setugasnya kemudian bertepuk tangan sebaik Sofia melangkah longkang dengan selamat.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi sedih orang ramai apabila rata-rata pengguna media sosial turut bersimpati dengan nasib yang menimpa pelajar itu dan mendoakan supaya dia terus kuat dan bersabar dengan ujian yang dihadapi.
“Semoga adik ini menjadi orang yang sukses dihadapan hari atas bimbingan guru guru yang seikhlasnya,” kata @zynen1.
“Untung adik ini kerana terpelihara dari dosa mata. Allah angkat darjat dia sedari dunia lagi,” ujar @johnmesno.
“Syukur semoga pahala menjaga mereka yang kurang upaya. Allah sahaja dapat membalas. Mak ayah saya OKU cacat penglihatan, saya bangga mempunyai mak ayah yang telah membesarkan 6 orang adik beradik,” jelas @shakirahkierah – K! ONLINE