fbpx

PATI Myanmar bayar RM4,000, RM5,000 masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta yang dirampas dalam serbuan polis di daerah Seberang Perai Utara kelmarin.

SEBERANG PERAI – Seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai dalang sindiket pemerdagangan manusia membabitkan warga Myanmar antara empat individu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Utara di sini kelmarin.

Turut ditahan dalam Op Pintas itu, dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang kesemuanya berusia antara 43 hingga 66 tahun.

Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, suspek dipercayai bertanggungjawab membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Menerusi operasi tersebut, 21 lelaki dan lima perempuan warganegara Myanmar berusia antara 20 hingga 35 tahun berjaya ditahan polis.

“Siasatan awal juga mendapati setiap PATI telah membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang terbabit untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rahimi berkata, pihaknya turut merampas empat buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai pada operasi itu bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, kesemua mereka termasuk PATI tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI