fbpx

Derita anxiety Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYA KARIN

DI SEBALIK kehidupan glamor dan aktif dengan aktiviti lasak, bersukan, kerja sosial selain memenuhi tanggungjawab hakiki sebagai anak seni, Maya Karin sebenarnya tidak terkecuali daripada menghidap sejenis gangguan keresahan atau lebih mudah disebut anxiety sejak lapan tahun lalu.

Episod paling teruk yang dirasainya adalah mengalami perasaan gementar sehingga tangannya menggigil.

Anxiety juga pernah menyebabkan Maya gagal dalam uji bakat sekali gus terpaksa melupakan peluang untuk menempatkan diri dalam naskhah Crazy Rich Asian dan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.

“Saya dipanggil untuk uji bakat Crazy Rich Asian tetapi ketika datang saya mula berpeluh dan tangan menggeletar dengan kuat menyebabkan saya tidak dapat fokus hingga memberikan persembahan buruk.

“Anxiety ini sebenarnya sudah tercetus sejak tujuh, lapan tahun lalu. Ayah saya kata, masalah itu berpunca daripada sikap saya yang terlampau memaksa diri untuk bekerja kuat. Saya juga pernah diserang panik ketika melakukan selaman laut dalam.

“Itu paling menakutkan walaupun saya kerap diving. Sekarang saya sudah boleh kawal perasaan kebimbangan itu selepas mendapatkan nasihat doktor kerana sepanjang tempoh berkenaan serangan tersebut semakin kerap muncul,” jelas Maya.

MAYA kini sibuk dengan sesi latihan untuk persembahan teater muzikal, Puteri Gunung Santubong: The Warrior Princess yang akan dipentaskan pada 11 dan 12 Disember nanti.

Sukar menjelaskan situasi yang dialami, ada ketikanya gelas yang dipegang juga hampir terlepas daripada genggaman akibat menggigil.

“Ada masa, saya cuma mahu balik rumah tetapi kita harus profesional sebab orang lain tak tahu masalah dalaman yang kita hadapi,” katanya

Bintang Pontianak Harum Sundal Malam berkongsi sisi peribadi, pengalaman dan aspirasi dunia lakonan menerusi sesi lebih sejam anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Perkongsian yang dikelolakan bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu adalah sebahagian pengisian bagi menyemarakkan kemuncak Festival Filem Malaysia (FFM) ke-31 yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.

Menerusi sesi sama, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 42, tanpa berselindung turut mengakui melalui zaman permulaan dalam dunia perfileman yang dianggap kini sebagai momen untuk mentertawakan diri.

Kata penjulang dua trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM itu, kosong pengalaman dan duit membuatkan pembabitan awalnya di layar perak menjadi bahan kritikan yang diingati sampai sekarang.

“Kini saya sudah boleh ketawakan diri sendiri. Saya muncul dalam filem Seri Dewi Malam tetapi terlalu ‘blur’. Saya boleh tanya, bila drama itu akan disiarkan.

“Kemudian, saya terbabit pula dalam filem No. Problem. “Apabila majlis tayangan, ada menteri datang sebagai jemputan menjadikan saya rasa macam nak mati.

MAYA KARIN menyifatkan zaman awal pembabitannya dalam dunia lakonan sebagai melucukan.

“Ramai yang kata kerjaya lakonan saya akan berkubur setakat itu. Akhirnya saya temui transisi untuk filem ketiga, Pontianak Harum Sundal Malam.

“Itulah filem yang mengembalikan kepercayaan penonton dan pemerhati filem terhadap kemampuan saya, sekali gus menjadi pengajaran pada diri bahawa duit itu penting tetapi jangan ambil tawaran disebabkan ganjaran,” katanya.

Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik itu turut mengakui Pontianak Harum Sundal Malam 20 tahun lalu menjadi naskah prolifik dan mampu menyentuh hati ramai sehingga kini.

Biarpun menjadi calon ketiga yang dihulurkan tawaran heroin, Maya menyifatkan percaturan berkenaan sebagai sesuatu paling berharga.

“Walaupun bukan pilihan pertama, perlu berbulan berlatih, kena pakai kostum dan mekap tebal, digantung lebih lapan jam sehingga melecet, semua itu berbaloi.

“Inilah anjakan yang saya peroleh apabila tidak berpaksikan bayaran semata-mata, sebaliknya lebih kepada kepuasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maya yang kini berada di Kuching, Sarawak sedang sibuk menjalani persediaan untuk persembahan teatet muzikal, Puteri Gunung Santubong: The Warrior Princess yang akan dipentaskan pada 11 dan 12 Disember nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI