SETELAH sedekad, platform jualan buku elektronik pertama negara dan Asia Tenggara, E-Sentral yang diwujudkan sejak tahun 2011 kini berbangga kerana ia dimanfaatkan oleh lebih satu juta pengguna sekali gus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat yang semakin mesra dengan pembacaan gaya baharu.
Menerusi platform tersebut pengguna boleh membeli pelbagai buku digital dan membacanya menggunakan peranti seperti telefon pintar atau tablet.
Sebelum PKP, purata penggunaan harian oleh pengguna adalah sekitar 700 jam sehari. Ketika PKP, ia meningkat kepada 3,100 jam sehari. Ini menunjukkan masa penggunaannya kian bertambah.
——————————————————————————————————————————————–
MASA hujung minggu wanita berusia 28 tahun itu banyak dihabiskan di dalam rumah sambil menghadap telefon pintarnya selepas lima hari sibuk melakukan tugas di pejabat.
Nor Fariha Mustapha boleh menghabiskan masa selama lebih 12 jam sehari dengan melihat skrin telefon pintarnya sambil berbaring di atas katil.
Biasanya, seseorang itu menggunakan telefon pintar untuk melihat media sosial, bermain games, menonton video atau bersembang di WhatsApp, namun sebaliknya buat Nor Fariha.
Wanita dari Kota Bharu, Kelantan itu menggunakan telefon pintarnya untuk membaca pelbagai buku kegemarannya yang dibeli menerusi platform E-Sentral.
E-Sentral merupakan platform penjualan buku elektronik atau e-Book pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang telah wujud sejak tahun 2011. Menerusi platform tersebut pengguna boleh membeli pelbagai genre buku digital dan membacanya menggunakan peranti seperti telefon pintar atau tablet.
“Saya guna platform ini sejak tujuh tahun lalu ketika masih menuntut di universiti. Kini, selepas bekerja pun saya masih menggunakannya.
“Biasanya, saya baca e-Book daripada platform ini sebelum tidur. Kalau hujung minggu, seharian saya boleh habiskan waktu membaca novel cinta,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Dia menambah, platform tersebut turut digunakan untuk membeli buku-buku pendidikan buat anak saudaranya yang merupakan seorang ulat buku.
Nor Fariha yang bekerja di sebuah syarikat swasta memaklumkan, E-Sentral memudahkannya mendapatkan buku-buku kegemaran serta membacanya pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Jelasnya, naskhah digital bukan sahaja boleh menjimatkan ruang di rumah, bahkan harganya lebih murah berbanding buku fizikal di pasaran.
“Dahulu kalau hendak beli buku, saya kena keluar pergi ke kedai-kedai di pekan. Tetapi kini, tidak lagi, saya boleh beli dan terus membacanya di telefon pintar.
“Bagi saya, membaca naskhah digital lebih menyeronokkan berbanding fizikal. Saya boleh tahu masa yang diperuntukkan untuk membaca dan jumlah buku yang dibaca setiap bulan,” jelasnya lagi.
Platform dilancarkan secara rasmi pada 2011 itu diasaskan oleh usahawan tempatan, Syed Muhammad Faiz Syed Mansur, 42, bersama dua rakan kongsinya yang menubuhkan Xentral Methods Sdn. Bhd.
Selepas sedekad E-Sentral bertapak di negara ini, platform tersebut kini boleh berbangga apabila berjaya mencatatkan lebih sejuta pengguna aplikasi.
Malah, platform tersebut menawarkan lebih 270,000 buku daripada pelbagai genre sama ada yang diterbitkan oleh penerbit tempatan mahupun seberang laut.

Menurut Syed Muhammad Faiz, platform tersebut semakin menjadi pilihan seiring dengan perubahan masa dan norma baharu kehidupan masyarakat ketika ini.
Terangnya, penggunaan platform itu telah meningkat dengan mendadak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.
Ketika PKP, pergerakan orang ramai di luar rumah terhad kepada aktiviti dan tujuan tertentu bagi memutuskan rantaian Covid-19 dalam masyarakat.
“Alhamdulillah, selepas sedekad E-Sentral beroperasi, ia semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Ketika PKP, kami mencatatkan peningkatan cukup memberangsangkan.
“Sebelum PKP, purata penggunaan harian oleh pengguna adalah sekitar 700 jam sehari. Ketika PKP, ia meningkat kepada 3,100 jam sehari. Ini menunjukkan masa penggunaannya kian bertambah,” katanya.
Mengimbas mengenai idea penubuhan E-Sentral, lelaki berasal dari Bangi, Selangor itu memaklumkan, segalanya bermula selepas melihat penurunan pengedaran buku fizikal.
Tegasnya, pada tahun 2010, para penerbit di negara ini mula beralih daripada jualan buku fizikal di kedai kepada secara dalam talian ekoran beberapa masalah yang timbul.
Dia memaklumkan, kebanyakan kedai fizikal pada waktu itu hanya menjual naskhah yang menawarkan diskaun tertinggi daripada penerbit bagi memaksimumkan keuntungan lalu meminggirkan buku-buku lain meskipun mendapat permintaan tinggi.
“Ekoran masalah ini, saya sebagai penerbit buku fizikal bersama beberapa rakan mengambil inisiatif mewujudkan platform ini dengan modal permulaan sekitar RM400,000.
“Kami bermula dengan 67 buah buku elektronik dengan menawarkan aplikasi dalam IOS. Selepas setahun, kewangan kami sangat nazak ekoran jumlah pembaca yang sangat rendah,” imbaunya lagi.

Pada akhir 2012, E-Sentral mendapat suntikan modal lebih RM1 juta daripada sebuah firma permodalan tempatan menerusi kerjasama strategik sekali gus membolehkan ia kembali bernafas.
Menjelang tahun 2016 hingga 2020, platform itu mula menunjukkan pertumbuhan ekoran kesedaran masyarakat serta kerjasama mereka dengan Perpustakaan Negara Malaysia.
Syed Muhammad Faiz menegaskan, penerbit atau penulis yang ingin menerbitkan buku elektronik menggunakan platform itu perlu membawa karya dalam format PDF.
Katanya, ia akan diubah kepada formal HTML yang lebih ringan sebelum dimuat naik ke dalam platform E-Sentral untuk dijual mengikut harga ditetapkan penerbit.
“Soal harga kami serahkan kepada penerbit untuk menetapkannya. Biasanya, harga e-Book ini lebih murah 30 hingga 50 peratus berbanding naskhah fizikal kerana tiada kos cetak dan pengedaran.
“Kami menggunakan teknologi Inscription bagi membantu menyekat pengguna berkongsi buku elektronik dengan orang lain sekali gus meningkatkan kepercayaan penerbit,” ujarnya.
Kongsinya, naskhah paling laris dalam E-Sentral ialah genre romantik diikuti agama dan motivasi. Lebih 70 peratus pengguna platform itu pula terdiri daripada golongan wanita berkerjaya antara umur 18 hingga 35 tahun.
Seperti platform-platform lain, E-Sentral juga mempunyai beberapa masalah yang telah menyekat pengembanganya secara holistik.
Syed Muhammad Faiz menerangkan, antara masalahnya adalah pemikiran para penerbit buku di negara ini yang melihat naskhah elektronik sebagai pesaing naskhah fizikal.

“Pesaing buku fizikal sebenarnya ialah media-media sosial dan hiburan moden lain. Masyarakat pada hari ini lebih banyak menghabiskan masa melihat media sosial dan bermain permainan video berbanding membaca buku.
“Masalah lain yang kami hadapi adalah sekatan pembelian kepada pengguna bawah umur. Golongan ini masih perlu mengharap ibu bapa untuk membeli buku elektronik,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicara, dia sangat berharap budaya membaca sama ada secara fizikal atau digital kembali diperkasa dalam usaha negara menjadi sebuah negara maju.
Jelasnya, membaca perlu dijadikan satu budaya dalam masyarakat dan bukannya dikaitkan dengan pendidikan atau peperiksaan semata-mata.
“Apabila kita selalu membaca bahan-bahan bermanfaat, ia dapat mengasah minda menjadi lebih tajam. Orang ramai kini boleh membaca buku dengan mudah menerusi peranti seperti telefon pintar,” ujarnya.














