fbpx
GAMBAR HIASAN / FARIZ RUSADIO

2021 dikenang sebagai tahun musibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEJAM celik, pejam celik kita telah pun menghampiri ke penghujung tahun 2021. Kira-kira lima minggu atau 36 hari lagi kita akan melangkah ke tahun 2022.

Selepas diuji dengan Covid-19 yang mula dikesan di negara ini pada Januari 2020 dan menjalani lockdown kali pertama dua bulan selepas itu, ramai dalam kalangan kita meletakkan tahun 2021 sebagai tahun yang penuh dengan harapan untuk bangkit merencana semula pelan yang tertangguh sebelum ini.

Namun, siapa sangka. Harapkan panas sampai ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari. Lalai dan tidak mengamalkan normal baharu mengundang padah.

Tidak sampai sebulan melangkah tahun 2021, rakyat Malaysia ‘dikurung’ sekali lagi.

Tahun 2021 menyaksikan gelombang ketiga Covid-19 dengan kewujudan varian yang lebih ganas dan pantas merebak di seluruh dunia iaitu Delta.

Biarpun program vaksinasi Covid-19 Kebangsaan sudah pun berjalan, namun virus ini terus mengganas menjangkiti penduduk negara ini. Malaysia pernah mencatatkan kes harian melebihi 23,000 pada Ogos lalu dengan jumlah kes aktif adalah sebanyak 250,000 pada bulan sama.

Katil-katil di hospital penuh dengan pesakit Covid-19 sehingga ada yang terpaksa ‘berkampung’ di pekarangan jabatan kecemasan.

Selain itu seramai 4,596 murid sekolah bergelar anak yatim dan ada juga yang menjadi yatim piatu disebabkan ibu bapa atau salah seorang penjaga mereka meninggal dunia akibat Covid-19 setakat September lalu.

Selepas satu demi satu sektor dibuka dan rentas daerah seterusnya negeri dibenarkan pada bulan lepas, ramai sudah mula menarik nafas lega.

Namun, bukan semua bernasib baik dapat bercuti dan melancong.

Hujan lebat hampir setiap hari disebabkan peralihan monsun mengundang bencana banjir seperti di Johor, Melaka, Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan terbaharu di beberapa lokasi di Selangor dan Cameron Highlands, Pahang pada Isnin lalu.

Setiap kali hujan lebat melanda, ada yang sedap beradu, namun bagi yang tinggal di kawasan berisiko mereka ini ibarat tidur-tidur ayam.

Pada Isnin lalu penulis singgah di sebuah gerai makanan, seorang peniaga lelaki berusia dalam lingkungan 30-an mengakui pendapatan hariannya terjejas sekiranya hujan.

“Ada hari yang tidak bernasib baik langsung tiada pelanggan yang datang ke sini. Jika hujan berlarutan sampai malam, saya tutup awal,” katanya.

Saya turut mencadangkannya supaya menggunakan aplikasi penghantaran makanan dan dia memaklumkan baru menyertainya baru-baru ini. Itulah dugaan orang berniaga.

Tahun 2021 yang berbaki sebulan lebih lagi menjadi tahun yang paling diingati oleh semua orang termasuk rakyat Malaysia. Semoga tahun 2022 memberi sinar dan harapan baharu buat kita semua. -K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN