fbpx

Kunci mulut soal hamil, Intan lahirkan ‘Anugerah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENJADI buah mulut ramai sejak beberapa bulan lalu, suami isteri ini menunggu masa sesuai untuk berkongsi sebarang berita gembira termasuklah kehamilan.

BERGELAR isteri kepada Harris Alif sekitar Februari lalu dan kini masih mengunci mulut tentang status kehamilan anak pertama yang menjadi tumpuan ramai, pelakon Intan Ladyana lebih selesa dengan pendekatan sebegitu.

Berkongsi kehidupan selepas berkahwin, jelas Intan atau nama lengkapnya, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, sekarang fokusnya lebih kepada keluarga.

Kerjaya, kehamilan

Bukan itu sahaja, kehidupan sebagai isteri juga menuntut dia untuk lebih teliti sebelum menerima apa-apa tawaran agar tidak mengganggu tanggungjawab utamanya.

“Memang ada yang berubah selepas berkahwin. Pastinya keutamaan saya kini kepada keluarga. Pada tempoh sekarang, saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Fokus saya kini bukan kepada kerjaya sahaja tetapi juga keluarga, jadi saya perlukan kehidupan yang seimbang.

“Sebab itu saya agak memilih tawaran selepas berkahwin. Selepas bergelar isteri, tanggungjawab utama saya adalah untuk menguruskan keluarga. Tetapi alhamdulillah rezeki selepas berkahwin lebih murah,” jelasnya.

Dalam usaha mencari jawapan di sebalik teka-teki yang sibuk diperkatakan ramai iaitu soal kehamilan, Intan lebih senang untuk tidak membuka mulut.

Menolak soalan tersebut kepada suaminya untuk menjawab, ketika ini, jelas Harris, dia dan Intan lebih senang untuk menunggu waktu yang sesuai.

“Tiada apa yang boleh saya kongsi lagi. Tetapi saya berjanji, kami akan kongsikan apa saja berita gembira jika ada waktu yang sesuai untuk berbuat demikian.

“Cuma buat masa ini, apa yang kami minta daripada peminat di luar sana adalah doa-doa ikhlas kalian. Terus doakan kebahagiaan saya dan Intan,” harapnya.

Anugerah

Menjadi antara pasangan selebriti yang disatukan dalam tempoh pandemik, ternyata perihal tersebut menjadi pengalaman berharga buat mereka.

Intan dan Harris mengakui, tempoh 10 bulan pertama bergelar suami isteri adalah fasa yang cukup manis dalam perkongsian hidup mereka kerana disusuli dengan kehadiran Anugerah.

Bercerita mengenainya, mereka bersyukur kerana diberi peluang oleh Nori Malaysia Sdn. Bhd. untuk memperkenalkan produk wangian bawah jenama Anugerah.

Melihat ini sebagai permulaan untuk lebih serius dalam bidang perniagaan, jelas Intan, menjadi impiannya agar dapat mempelbagaikan produk lain bawah jenama yang sama.

“Anugerah sudah mempunyai dua produk iaitu Anugerah Body Mist dan Anugerah Fantasy. Malah saya dan suami juga dalam perancangan untuk memperkenalkan Anugerah Man. Ketika ini, produk kami sudah berada di lapan cawangan pasar raya Aeon di seluruh negara. Insya-Allah, pada tahun ini juga produk kami akan berada di lima lokasi lain antaranya di negeri Pantai Timur.

“Kalau ditanya mengapa saya dan suami memilih nama tersebut sebagai jenama produk, jawapannya sebab tajuk lagu Harris berjudul Anugerah. Lagu ini sempena hari perkahwinan kami. Jadi perkataan anugerah itu sendiri cukup istimewa buat kami berdua,” jelasnya.

Memilih mengeluarkan ‘body mist’ berbanding minyak wangi, kata Intan, sebagai ahli perniagaan mereka sangat berhati-hati dalam memperkenalkan produk bawah jenama kendaliannya.

Malah ketika ini dia juga enggan sekadar mahu mengikut rentak orang lain untuk berniaga.

Peluang

Sementara itu bagi Harris pula, dia melihat peluang yang diberikan Nori Malaysia sebagai satu lagi cabang perniagaan yang ingin diceburinya.

Walaupun dilaksanakan dalam tempoh pandemik sekitar setahun lalu, namun dia sentiasa percaya dengan kemampuan perniagaan tersebut.

“Apabila Nori Malaysia tawarkan untuk jalin kerjasama, kami tidak mengambil masa yang panjang untuk bersetuju. Sebab kami yakin dengan mereka kerana ramai lagi rakan artis lain turut menjalinkan kerjasama.

“Biarpun tawaran memperkenalkan Anugerah dilakukan dalam tempoh pandemik, tapi kami bersyukur dengan sambutan baik yang diberikan.

“Malah selepas hampir setahun berada di pasaran kami juga sudah mempunyai dua produk dan ini adalah perkembangan yang positif untuk perniagaan ini,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI