fbpx

IKMa bakal tubuh universiti koperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOH melancarkan akronim IKMa di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) kini dalam proses untuk menubuhkan sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan koperasi yang akan dinamakan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, usaha berkenaan bertujuan melahirkan tenaga profesional dalam gerakan koperasi.

Katanya, ia kini sudah berada pada fasa akhir dan ia dijangka memulakan pengambilan pelajar pada tahun hadapan.

“Saya berharap ia dapat dilancarkan pada Julai tahun depan.

“Ini kerana, Kabinet dalam mesyuarat pada dua minggu lalu telah bersetuju supaya bulan Julai setiap tahun diangkat sebagai bulan koperasi, yang mana pelbagai program untuk memperkasakan gerakan ini bakal diperhebatkan pada bulan tersebut.

“Lokasi universiti ini sudah ada iaitu di Cyberjaya dan kami sedang mendapatkan kelulusan perlesenan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi.

“Pengambilan pertama akan melibatkan 1,000 pelajar,” kata­nya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Seminar Bicara Ketua Eksekutif bertemakan Nafas Baharu Koperasi Era Endemik dan pelancaran akronim baharu Institut Koperasi Malaysia di Pusat Dagangan Dunia semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya serta Pengerusi IKMa, Datuk Rosli Mat Hassan.

Menurut Noh, akronim Institut Koperasi Malaysia ditukar daripada IKM kepada IKMa bagi meningkatkan imej dan penampakannya di mata masyarakat umum.

“Ia sekali gus menangani isu kekeliruan jenama terdahulu dengan organisasi kerajaan lain, contohnya Institut Kemahiran Mara yang juga menggunakan akronim IKM,” jelasnya.

Sementara itu, Rosli berkata, IKMa kini menjangkau usia le­bih 65 tahun dan telah memain peranan penting selaku pencetus minda koperasi Negara bagi memacu pendidikan serta latihan koperasi.

“Tahun ini, IKMa telah membimbing 45 buah koperasi dan koperasi peserta berjaya me­lonjakkan pendapatan tahunan mereka sekitar 20 hingga 30 ­peratus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI