fbpx
Ikon rap, Joe Flizzow memberi teguran berbaus sinis terutama buat orang Melayu yang suka mencampuradukkan fesyen dan budaya.

Pantang tengok pakai baju Melayu, ‘sneakers’ – Joe Flizzow

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Atas dasar keprihatinan, penyanyi rap Joe Flizzow menasihatkan orang ramai agar berhenti mencampuradukkan fesyen dan budaya.

Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 42, berkata, dia tidak sanggup melihat segelintir lelaki Melayu, terus ralat memperagakan busana kebanggaan negara dengan memadankannya dengan kasut jenis kasual.

“Saya paling pantang tengok orang (lelaki) berbangsa Melayu bersampin, lengkap bersongkok tetapi pakai sneakers (kasut kasual).

“Saya memang tak boleh (pantang) walaupun saya memang penggemar sneakers. Bagi saya, setiap acara, anda perlukan kasut atau sepatu yang betul.

“Bagi saya, benda itu salah. Bukan salah apa, tetapi baju Melayu adalah pakaian tradisi kita dan ia merupakan satu aspek yang sangat-sangat penting,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Biarpun merupakan seseorang pemuja fesyen, pelantun lagu Apa Khabar itu menasihatkan golongan muda supaya tidak lalai dan menggadaikan nilai tradisi atau budaya.

“Jangan hanya kerana fesyen, kita lalai dari segi tradisi. Setiap acara ada kasut yang tersendiri. Contoh, kalau nak panjat gunung, janganlah pakai kasut bola keranjang.

“Benda ini berlaku kepada saya baru-baru ini panjat gunung orang di depan saya pakai kasut bole keranjang. Dia nak stail, dia pakai Jordan 1 (kasut jenama Nike).

“Dan, kalau pergi function (acara rasmi), kalau boleh pakai kasut kulit. Tak payah yang mahal pun. Kalau boleh kita kilatkan sikit kasut itu. Nak masuk istana ke, tolonglah jangan pakai kasut merepek,” tutur Joe.

Terlanjur berbicara tentang fesyen dan protokol, Joe mendedahkan, dia bukanlah individu yang terlalu mengejar jenama mewah dalam soal pemakaian. Katanya, dia pakai apa yang selesa.

“Saya rasa menjadi satu kesalahan menilai sesuatu itu dari segi betapa mahal harganya. Bagi saya, tak perlu pun mahal-mahal tapi penampilan memang penting.

“Saya sendiri kadang-kadang nak pakai baju hitam, saya beli online sahaja harga RM8, RM10,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN