KUALA LUMPUR – Persefahaman pertahanan yang sedia terjalin antara Malaysia – Indonesia diperkasakan lagi apabila tentera darat kedua-dua negara bergabung dalam Eksesais Keris Kartika Malaysia dan Indonesia (Kekar Malindo) Siri 44AB/2021 di Sri Aman, Sarawak.
Ia merupakan latihan gabungan bersama antara Briged Ketiga Infantri Malaysia dengan Brigade Infanteri 19/Khatulistiwa Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD)
Latihan simulasi tempur ini diadakan selama 12 hari sehingga 2 Disember ini di sekitar kawasan Sri Aman, Engkelili, Lubok Antu dan Semanju.
Tentera Darat (TD) dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi memberiahu, latihan bilateral yang diadakan setiap tahun ini melibatkan dua fasa iaitu Eksesais Pos Pemerintah dan Eksesais Trup Medan.
Menurut kenyataan tersebut, ia melibatkan 17 pegawai dan 344 anggota Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) manakala TNI-AD diwakili pasukan YONIF Raider 641 Beruang berkekuatan 10 pegawai bersama 122 anggota.
“Objektif eksesais untuk menguji pemerintah dan pegawai staf pada peringkat batalion infantri dan pasukan gabungan dalam operasi bersama dan meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak bagi melaksanakan operasi dalam konteks peperangan konvensional.
“Selain itu, ia juga bagi mengeratkan semangat setiakawan serta perhubungan erat antara kedua-dua negara agar berterusan selain dapat meningkatkan kesiagaan ketenteraan bagi menghadapi sebarang ancaman musuh yang mendatang,” ujar kenyataan itu.-K! ONLINE