fbpx

Perodua Kancil rempuh warung, penunggang motosikal parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kereta Perodua Kancil yang dipandu warga emas terbabas selepas melanggar anjing sebelum merempuh motosikal dan warung di Kilometer 96 Jalan Batu Pahat - Mersing, Kluang malam semalam.

KLUANG – Seorang penunggang motosikal parah selepas dirempuh Perodua Kancil dalam kejadian di sebuah warung di Kilometer 96 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, ketika kejadian pukul 8 malam itu, mangsa yang berusia 27 tahun itu sedang bersandar di sebuah motosikal jenis Honda RS yang terletak di warung berkenaan.

Katanya, sebelum kejadian, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun telah melanggar seekor anjing yang melintas sebelum keretanya terbabas melanggar mangsa dan warung berkenaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah Mersing menghala ke pekan Kahang.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu kereta itu telah terlanggar seekor anjing menyebabkan keretanya hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan lalu melanggar mangsa dan sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan kedai makan tersebut.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hang Seng berkata, pemandu kereta hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI