fbpx

‘Drama’ nusyuz cerai Nynaa-Fahmi makin panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGAI sudah retak menanti belah, mahligai perkahwinan pelakon Nynaa Harizal dan Fahmi yang dibina pada Ogos lalu kini beralih fasa menunggu sebutan perceraian di kamar mahkamah.

SEJAK November membuka tirainya, kemelut rumah tangga pelakon jelita Nynaa Harizal serta suami, Mohamed Fahmi Ilyas menjadi percakapan netizen.

Paling mencuri tumpuan, bahtera perkahwinan yang baharu meniti usia tiga bulan tersebut dilihat bagaikan telur di hujung tanduk dan bila-bila masa menunggu masa untuk karam di lautan kehidupan.

Semuanya bermula apabila Fahmi pada 3 November lalu mendakwa isterinya ‘dilarikan’ oleh bapa mertuanya sewaktu berada di sebuah lokasi penggambaran sebuah drama.

Tidak sekadar ‘melarikan’ anak sendiri, bapa Nynaa iaitu Harizal Hashim yang merupakan bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar turut berdepan kontroversi isu senjata api berupa sepucuk pistol ketika ke set penggambaran tersebut.

Rentetan laporan polis yang dilakukan Fahmi, Harizal tampil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor atas kesalahan mengugut dengan menggunakan senjata api.

Tidak sampai beberapa jam, Nynaa atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal, 25, tampil menafikan mengenai dakwaan dan telahan suaminya yang memaklumkan bahawa dirinya telah dilarikan oleh keluarga.

NYNAA HARIZAL (tengah) berbincang dengan peguamnya ketika menghadiri prosiding permohonan cerai cara baik terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, baru-baru ini.

Tidak setakat itu, belum sampai seminggu kisah ‘melarikan’ anak sendiri diperkatakan, Fahmi pula tampil membuat tuntutan agar pelakon itu kembali taat dan pulang ke pangkuannya selepas hampir dua minggu Nynaa didakwa keluar rumah tanpa kebenaran sejak 2 November lalu.

Permohonan difailkan Fahmi, 29, selaku plaintif di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Noriah Zakaria.

Kemelut hubungan mereka semakin memuncak dan tidak nampak kesudahan, selain menjadi semakin tegang apabila pelakon itu secara tiba-tiba pada 10 November memfailkan permohonan cerai kepada suaminya.

Nynaa pada Rabu baru-baru ini hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru bagi satu prosiding sebutan permohonan perceraian secara baik dengan Fahmi.

Katanya Nynaa, pihaknya telah memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003.

“Satu salinan saman juga telah diserahkan kepada pihak suami pada 11 November lalu.

“Doa saya semoga suami dapat melepaskan saya daripada ikatan perkahwinan ini cara baik tanpa saya perlu meneruskan dengan proses perundangan yang lain,” jelas Nynaa.

NYNAA dan Fahmi berkahwin pada 28 Ogos lalu.

Selang dua hari iaitu pada Jumaat, Fahmi tidak hanya berdiam. Dia tampil membuat satu sidang akhbar khas bagi menerangkan apa sebenarnya yang berlaku.

Menurutnya, dia berasa cukup hairan dan pelik dengan tujuh syarat ‘aneh’ semacam syarat ‘peminangan Puteri Gunung Ledang’ yang diletakkan si isteri, sekiranya mereka mahu bersemuka dan berbincang mengenai konflik rumah tangga yang berlaku.

Tujuh syarat yang diletakkan itu antaranya mesti berjumpa di pejabat peguamnya di Johor Bahru, wajib datang seorang diri, dilarang merakam sebarang perbualan audio atau video dan tidak dibenarkan membawa pemandu peribadi.

Tiga lagi syarat lain termasuklah, tidak boleh membawa pengawal peribadi, tidak dibenarkan membawa ahli keluarga dan dilarang sama sekali hadir bersama wakil media.

“Memang benar 12 November lalu Nynaa ada call (hubungi) saya dan sempat bercakap dengan saya seperti biasa.

“Untuk 30 saat pertama itu memang saya gembira dengar suaranya. Tapi lepas itu saya rasa ada something (sesuatu) yang kurang baik selepas saya menyentuh mengenai pertemuan bersamanya secara bersemuka.

“Tujuh syarat diberikan kepada saya. Saya tahu syarat tersebut bukan dia sendiri yang tetapkan tetapi sudah disusun atur oleh peguamnya,” katanya sedikit kesal.

NYNAA tenang ketika bercakap dengan pemberita selepas prosiding permohonan cerainya di mahkamah pada Khamis lalu.

Tambah Fahmi yang turut bekerja dalam bidang kewangan, dia pelik apabila diberitahu iserinya tidak dibenarkan sama sekali untuk keluar dari Johor bagi bertemu dengannya dan menyifatkan perkara tersebut seolah-olah sengaja dirancang pihak ketiga.

Dalam pada itu, Fahmi mengakui hubungan dia dengan ibu bapa mentuanya mula bergolak selepas berkahwin dengan Nynaa 20 Ogos lalu.

Tidak dapat memastikan punca sebenar, Fahmi memberitahu berlaku beberapa isu antaranya, melibatkan faktor kewangan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 25 Disember ini sebagai sebutan semula untuk penyerahan notis.

Entahkan bila kemelut dan kepincangan rumah tangga pasangan itu akan berakhir? Adakah drama tersebut bakal berlanjutan secara baik atau bersambung dengan lebih banyak konflik bersiri? Semuanya hanya Tuhan yang tahu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI