fbpx

Akui tertekan, Baby Shima rujuk pakar kaunseling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK lagi tahan emosinya didera, Baby Shima akur dengan nasihat rakannya untuk mendapatkan rawatan kaunseling berkaitan masalah emosi yang dihadapinya.

PETALING JAYA – Mengakui mentalnya tidak kuat dan tertekan akibat kecaman netizen yang tidak berkesudahan, penyanyi dangdut sensasi Baby Shima mengakui terpaksa mendapatkan sesi khidmat kaunseling bagi merawat emosinya.

Shima berkata, dia bertindak demikian kerana sudah tidak tahan dengan masalah tekanan perasaan dan depresi yang dihadapinya sejak kebelakangan ini.

“Saya betul-betul tertekan. Bukan main-main, sehinggakan saya ambil keputusan dapatkan khidmat kaunseling dengan segera,” katanya.

Menurut Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 26, dia mengakui sedikit lega selepas menjalani rawatan kaunseling bersama kaunselor sukarelawan Rumah Prihatin Kuala Lumpur, Muhamad Nabil Che Musa baru-baru ini.

“Kalau ikutkan hati, awalnya saya tak mahu dapatkan khidmat ini. Tambahan pula saya kurang pendedahan mengenai rawatan kesihatan mental.

“Namun setelah dinasihati oleh seorang kawan rapat, akhirnya saya bersetuju untuk mendapatkan khidmat kaunseling tersebut.

“Jujur saya rasa lega sedikit selepas sesi kaunseling tamat. Selama ini saya hanya pendam seorang diri. Bila dah luahkan semuanya, barulah rasa lebih baik dan tenang,” katanya yang perlu menjalani dan mengulangi sesi tersebut secara berkala selepas ini.

Pelantun lagu Pura-Pura Bujang itu juga mengakui, dahulunya dia seorang yang sabar dan kuat berdepan kecaman apatah lagi hinaan netizen, namun sekarang tidak lagi.

“Sampai ke tahap ini saya akui betul-betul lemah. Saya bukan tak boleh ditegur, saya boleh terima dan tak kisah tapi kalau nak tegur kena tahu adabnya bagaimana.

“Jangan sampai memaki hamun. Banyak yang menegur tapi cara mereka amat keterlaluan sehingga tahap menghina saya dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, impak tertekan dengan kutukan dan kritikan menggila netizen yang tidak pernah habis, penyanyi itu mendedahkan terpaksa mengambil pil penenang bagi merawat emosinya yang terganggu.

Sejak awal minggu ini, platform media sosial kecoh dengan penularan gambar panas miliknya di sebuah pusat hiburan seakan-akan sedang mencium pipi seorang lelaki.

Biarpun mengakui itu adalah gambar dirinya, Shima bagaimanapun mengambil pendekatan enggan mendedahkan siapa lelaki terbabit tanpa mahu memperincikan situasi tersebut kepada umum.

Shima turut mengakui aksi intim berkenaan hanya sebahagian daripada babak video muzik (MV) terbaharunya yang berjudul Lalai yang diluncurkan Khamis lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI