SUZUKI Swift generasi pertama melakukan debut sewaktu acara Paris Auto Salon di Perancis pada tahun 2004. Ketika itu model berkenaan dibawa terus dari negara Matahari Terbit.
Umum mengetahui Swift adalah model yang dibuat oleh pakar pembuat kenderaan kompak di Jepun, Suzuki Motor Corporation. Jadi, produk yang dihasilkan sukar untuk diragui dari segi kualitinya.
Selepas lima tahun jenama tersebut meninggalkan Malaysia, Suzuki pada tahun ini hadir kembali, kali ini dengan syarikat Naza Eastern Motors.
Model sulung yang dilancarkan oleh syarikat itu ialah Swift Sport dengan varian tunggal yang diimport sepenuhnya (CBU).
Sepanjang ketiadaan jenama itu, syarikat-syarikat pengimport kenderaan terpakai (grey importer) ada menawarkan model-model Suzuki. Tetapi apabila ada pengedar rasmi, para peminat mungkin mahukan ‘ketenangan fikiran’ dengan membeli kereta baharu.
Suzuki Swift Sport dilancarkan pada bulan April lalu dengan tanda harga RM139,900 (atas jalan tanpa insurans) dan menawarkan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 kilometer (km) atau mana-mana tiba dulu.
Naza Eastern turut menawarkan empat pilihan warna Champion Yellow (kuning), Speedy Blue Metallic (biru), Pearl Pure White (putih) dan Burning Red Metallic (merah).

Penulis difahamkan untuk warna merah, putih dan biru ada tambahan kos sebanyak RM1,500.
Terus terang penulis katakan ketika Swift Sport ini dilancarkan oleh Naza Eastern Motors pada bulan April lalu, harga yang ditawarkan untuk model varian tunggal ini dirasakan agak mahal.
Tetapi pandangan itu berubah selepas penulis memandu uji sendiri model Swift Sport warna Pearl Pure White itu selama beberapa hari baru-baru ini.
Ketika memulakan pemanduan, penulis tidak perlu menunggu lama untuk merasai nilai sport yang ada pada kereta yang boleh dikategori sebagai ikonik ini.
Walaupun enjin 1.4 liter Boosterjet (turbo) dengan transmisi automatik enam kelajuan mungkin di atas kertas nampak tidak ‘wow’ tetapi satu perkara yang perlu kita tahu berat Swift Sport ini hanya 970 kilogram (kg).
Atas faktor itu, tidak sampai satu kilometer perjalanan, penulis sudah boleh tersenyum dan dapat jawapan sebab apa harga kereta ini seperti itu. Tambahan pula model ini turut hadir dengan penukar pedal (pedal shifter).

Kombinasi enjin dan transmisi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 140hp pada 5,500rpm dan tork maksimum 230Nm. Di atas kertas, Swift Sport ini mampu memecut sehingga 205 kilometer sejam (km/j).
Kadar pecutannya dari pegun hingga 100 km/j hanya dalam masa lapan saat. Penggunaan petrol pula sekitar 6.1 liter untuk 100km. Kapasiti tangki petrolnya bersaiz 37 liter. Untuk satu tangki penuh itu penulis mampu bergerak sejauh lebih 400km.
Rekaan luaran model ini ditampilkan dengan gril bersaiz besar dan kemasan gentian karbon, lampu utama jenis LED projektor dengan lampu siang. Lampu itu juga boleh dilaras tinggi dan rendah secara manual. Turut hadir sepasang lampu kabus di kiri dan kanan.

Pada bahagian sisi, sekali pandang kelihatan seperti kenderaan dua pintu kerana pembuka pintu belakang terletak pada sebelah cermin penumpang belakang dan berwarna hitam.
Swift Sport ini menggunakan rim bersaiz 16 inci dengan tayar 195/50.
Bahagian belakang pula kelihatan spoiler, kombinasi lampu belakang LED, pelekat Swift Sport, ekzos berkembar dan kemasan gentian karbon. Secara keseluruhan untuk bahagian luarannya kelihatan ringkas tetapi kemas dan rapi.
Masuk ke ruang kabin, tempat duduk separa bucket bertujuan untuk mengampu badan pemandu dan penumpang hadapan ketika laluan selekoh. Selain itu logo sulaman Sport menyerlahkan ruangan ini. Kalau dapat tali pinggang keledar warna merah lebih menonjol rasanya.
Papan pemuka Swift Sport ini penulis lihat berkonsep ringkas, tidak serabut dengan pelbagai butang tetapi lengkap. Model ini hadir dengan skrin sentuh berukuran tujuh inci dengan fungsi sambungan telefon pintar dan arahan suara.
Sistem infotainment hadir bersama enam pembesar suara dan kamera undur. Satu-satu perkara yang penulis kurang puas hati ialah kedudukan kamera undurnya yang terganggu terutamanya ketika hujan.
Unit kawalan pendingin hawa automatik juga terletak rapi dan kemas di bawah sistem infotainment. Di bahagian bawah ruang tengah papan pemuka itu mempunyai slot USB dan ruang simpanan, mungkin boleh letak telefon pintar.
Rekaan dua paparan meter jenis analognya memaparkan pelbagai maklumat termasuk meter boost, kuasa, tork, penggunaan bahan api dan suhu. Apa yang menarik gelung merah menghiasi meter mampu menaikkan mood pemanduan.
Kesimpulannya, jika ada yang berhajat memiliki model ini tetapi berkira-kira dengan kos yang perlu dikeluarkan anda perlu pergi memandu uji sendiri. Kalau anda inginkan sebuah kereta yang fun di bawah tanda harga RM150,000 inilah keretanya.














