fbpx

Rumah Bonda gagal peroleh semakan cabar JKM Notis Lak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur gagal dalam permohonannya untuk memperoleh kebenaran semakan mahkamah bagi mencabar Tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan ke atas premis itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan yang dikemukakan itu.

Peguam Asiah Abd. Jalil berkata, pihaknya memohon agar tiada kos diperintahkan kerana permohonan semakan kehakiman itu dibuat tanpa sebarang matlamat keuntungan, sebaliknya demi kepentingan awam.

“Mahkamah membenarkan permohonan kami yang mana tiada perintah untuk kos. Pihak kami akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini,” katanya ketika dihubungi selepas keputusan kebenaran permohonan semakan kehakiman itu yang dijalankan secara dalam talian (e-mel) hari ini.

Prosiding hari ini turut disertai Peguam Kanan Persekutuan, Nur Idayu Amir.

Pada 15 September lalu, AGC membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman susulan dakwaan berlaku penderaan seorang remaja sindrom Down berusia 13 tahun.

Menurut Nur Idayu,  bantahan itu dibuat kerana pemohon (Rumah Bonda) sepatutnya merayu kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam tempoh 30 hari selepas Tindakan Lak, mengikut Seksyen 22 Akta Pusat Jagaan 1993 dan bukan terus memfailkan semakan kehakiman ke mahkamah.

Pada 13 Ogos lalu, pertubuhan itu menerusi Pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarat masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Berdasarkan permohonan itu, Siti Bainun antaranya mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan responden pertama (JKM) pada 9 Julai lalu terhadap pemohon dan melaksanakan tindakan itu pada 12 Julai lalu ke atas premis Rumah Bonda adalah dipengaruhi oleh desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan penderaan terhadap kanak-kanak tersebut yang tular mulai 5 Julai lalu.

Siti Bainun mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penderaan itu, sedangkan remaja berkenaan tiada kaitan dan bukan penghuni rumah itu.

Remaja itu sebaliknya merupakan anak jagaan Siti Bainun yang diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu kepada Siti Bainun atas kapasiti peribadi sebagai Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

Siti Bainun memohon suatu perintah deklarasi bahawa Rumah Bonda pada sepanjang masa material sedang dalam proses permohonan pendaftaran dengan JKM dengan pengetahuan kedua-dua responden.

Pemohon juga memohon suatu perintah mandamus untuk mengarahkan kedua-dua responden melaksanakan serta-merta antaranya membuka lak terhadap rumah itu bagi membolehkan pemohon memasuki dan mengakses untuk menyambung semula proses dan prosedur yang berbaki dalam permohonan pendaftaran dengan JKM. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN