fbpx

45 PATI diberkas, dua positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI warganegara Indonesia yang berjaya diberkas Tentera Darat Malaysia (TDM) di perairan utara Tenggaroh, Mersing, Johor pagi tadi.

MERSING – Seramai dua daripada 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang berjaya diberkas Tentera Darat Malaysia (TDM) pagi tadi setelah disyaki cuba memasuki negara melalui jalan tikus didapati positif Covid-19.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, anggota petugas pemerhati telah mengesan bunyi bot yang mencurigakan kira-kira pada pukul 1 pagi di perairan utara Tenggaroh di sini.

“Atas maklumat tersebut, anggota petugas telah membuat serbuan dan kira-kira pukul 1.30 pagi, seramai 39 PATI berjaya ditahan. 26 daripadanya dipercayai baru saja tiba dan selebihnya iaitu 13 PATI sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal.

“Pada pukul 8.45 pagi, anggota Quick Reaction Force (QRF) yang ditugaskan untuk membuat penjejakan berjaya menangkap enam PATI sedang bersembunyi di kawasan Ladang Sawit Tenggaroh Timur tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama.

“Mereka dipercayai saki baki PATI yang baru tiba ke negara ini. Kesemua 45 PATI tersebut terdiri daripada 36 Lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia berusia sekitar 19 hingga 46 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, semua mereka telah dibuat saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang dan hasil ujian mendapati dua daripadanya positif Covid-19.

Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguruskan dua PATI tersebut mengikut prosedur KKM sehingga diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,000 melibatkan RM4,174, matawang Rupiah Indonesia IDR5,455,300 (RM1,590) bersama-sama lapan buah telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama.

Kesemua PATI katanya, selepas menjalani ujian saringan tersebut akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

Laporan kejadian tersebut pula katanya, telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI