KOS sara hidup pada masa kini yang tidak selari dengan pendapatan bukan sahaja menghantui pekerjaan swasta, malahan kakitangan awam di negara ini yang mana mereka menerima gaji minimum sebangak RM1,200 sebulan.
Minggu ini kolum Wawancara Kosmo! Ahad membawakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat yang mengupas isu berkenaan dan lain-lain perkembangan perkaitan penjawat awam di negara ini.
Antara lain beliau meminta agar kerajaan menyemak semula Sistem Saraan Malaysia dengan mencadangkan gaji minimum penjawat awam ditetapkan pada kadar RM1,800 sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada 1.6 juta penjawat awam.
Katanya, gaji permulaan RM1,200 untuk penjawat awam tanpa mengambil kira elaun lain masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.
————————————————————————————————————————————————
PENJAWAT awam merupakan tunjang dalam menyampaikan aspirasi kerajaan kepada rakyat dengan memastikan setiap inisiatif yang dirangka dapat dilaksanakan dengan baik, cemerlang serta telus.
Justeru, tidak hairanlah penjawat awam menerima pelbagai inisiatif daripada kerajaan yang merupakan majikan mereka sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang diberikan.
Pun begitu, peningkatan kos hidup pada masa kini memberi tekanan terutama kepada mereka yang tinggal di bandar-bandar besar termasuklah penjawat awam bergaji rendah.
Gaji minimum penjawat awam pada ketika ini adalah RM1,200 dan ia dilihat satu amaun sangat kecil untuk menampung kos sara hidup semakin meningkat saban hari, apatah lagi bagi mereka yang mempunyai anak ramai.
Sehubungan itu, bagi membincangkan lebih lanjut mengenai isu berkaitan gaji minimum penjawat awam, wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim menemu bual Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat.
KOSMO! AHAD: Umum mengetahui, kos sara hidup semakin meningkat setiap tahun berikutan kenaikan harga barangan keperluan dan ia turut memberi kesan kepada kakitangan awam di negara ini terutama bagi mereka yang bergaji rendah. Dalam hal ini, pada pandangan Cuepacs, perlukah gaji mereka yang berada di paras gaji minimum dikaji semula oleh kerajaan?
ADNAN: Peningkatan kos sara hidup bukan sahaja dirasai oleh penjawat awam kerana ia adalah permasalahan dihadapi semua rakyat tanpa mengira latar belakang atau demografi seseorang. Ia menjadi lebih besar jika peningkatan kos sara hidup tidak selari dengan peningkatan pendapatan hingga memberi kesan kepada taraf hidup rakyat.
Kos sara hidup dan taraf hidup adalah dua perkara saling berkait rapat. Ia adalah kos terpaksa ditanggung setiap individu bukan sahaja bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi juga keperluan lain.
Taraf hidup pula mengukur perbandingan antara pendapatan boleh guna yang diterima seseorang dengan kos sara hidup.
Sekiranya pendapatan berada pada kadar lebih rendah berbanding kos sara hidup, maka taraf hidup mereka dikatakan merosot.
Jika ditanya sama ada gaji minimum ini perlu dikaji atau tidak, ia bukan hanya soal kajian semata-mata, tetapi pelaksanaannya kelak perlu memberi kesan menyeluruh, menyelesaikan masalah dan bukannya dibuat sekadar untuk mengambil hati rakyat.
Berapa jumlah gaji minimum penjawat awam disyorkan Cuepacs dalam membantu golongan berkenaan menikmati kehidupan lebih baik, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di bandar besar?
Penetapan gaji minimum bagi penjawat awam sebenarnya berkait rapat dengan cadangan Cuepacs yang mahu kerajaan menyemak dan melaksanakan sistem saraan baharu bagi perkhidmatan awam yang menggunapakai Sistem Saraan Malaysia sejak November 2002.
Selepas hampir 20 tahun sistem itu dilaksanakan, sudah tiba masanya kerajaan mengkajinya bagi memenuhi peningkatan kos sara hidup serta relevan dengan persekitaran ekonomi semasa negara.
Melalui pelaksanaan sistem saraan yang baharu, Cuepacs mencadangkan gaji minimum penjawat awam ditetapkan pada kadar RM1,800 sebulan berbanding RM1,200 sebulan ketika ini, sekali gus memberi manfaat kepada 1.6 juta penjawat awam.
Gaji permulaan RM1,200 untuk penjawat awam tanpa mengambil kira elaun lain masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.
Melalui penetapan gaji minimum RM1,800 ia sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada penjawat awam.
Adakah gaji minimum diterima kakitangan awam masih relevan pada ketika ini?
Penetapan gaji minimum RM1,200 yang ditetapkan kerajaan sudah tidak lagi relevan dengan situasi semasa tidak kira yang ada di sektor swasta atau pun dalam perkhidmatan awam.
Di perkhidmatan awam sendiri, penetapan gaji minimum RM1,200 sebulan sebenarnya dikuatkuasakan pada Julai 2016 berbanding RM837 sebulan sebelum ini.
Selain itu, seperti saya sebutkan, Sistem Saraan Malaysia sudah begitu lama tidak disemak yang mana kali terakhir dilakukan pada 2002.
Sepatutnya ia disemak setiap lima tahun, namun tidak berlaku hingga mengakibatkan kenaikan kos sara hidup jauh meninggalkan gaji penjawat awam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menyasarkan negara berpendapatan tinggi dan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia ke-12. Bagaimana Datuk melihat perkembangan ini dalam konteks gaji kakitangan awam?
Cuepacs menyambut baik hasrat kerajaan yang mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan pada 2025 kerana ia suatu langkah baik bagi meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat.
Peningkatan purata pendapatan isi rumah ini menggambarkan taraf hidup rakyat akan bertambah baik, malah lebih baik daripada kebanyakan negara khasnya negara dunia ketiga dan di rantau ini.
Bagaimanapun, langkah untuk merealisasikan hasrat ini perlu dilaksanakan dengan bersifat inklusif supaya tiada pihak tertinggal.
Kami tidak mahu hanya sebelah pihak menerima manfaat, terutama mereka yang sememangnya sudah mempunyai pendapatan tinggi, manakala isi rumah yang berpendapatan rendah atau miskin kekal dengan pendapatan sama.
Tumpuan harus diberikan kepada golongan isi rumah dalam kumpulan miskin tegar, B40 dan M40.
Ini bukan bermaksud Cuepacs mahu kerajaan mengabaikan golongan berpendapatan tinggi, tetapi keutamaan harus diberikan kepada mereka yang masih perlu dibantu agar ‘kek’ ekonomi yang besar ini dapat dinikmati secara bersama.
Cuepacs yakin, kerajaan sentiasa memberi perhatian yang baik kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar. Ia dibuktikan dengan pelbagai inisiatif seperti Bantuan Prihatin Rakyat serta Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Keluarga Malaysia seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.
Menyentuh mengenai Bajet 2022 pula, adakah Datuk sebagai orang nombor satu yang mewakili kesatuan sekerja dalam kalangan penjawat awam berpuas hati dengan belanjawan tersebut?
Kami berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan komitmen untuk terus membantu penjawat awam melalui inisiatif pembaharuan dalam penyampaian perkhidmatan dan menjaga kebajikan mereka.
Ia jelas menunjukkan, kerajaan tetap komited untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, selain terus menjaga kebajikan 1.6 juta warganya melalui inisiatif seperti bantuan khas kewangan sebanyak RM700 serta gantian cuti rehat yang dinaikkan daripada 150 hari kepada 160 hari.
Cuepacs berharap, kerajaan akan melaksanakan segala inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan kali ini. Untuk makluman, inisiatif kerajaan membenarkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat sehingga 50 peratus atau 80 hari pernah diumumkan dalam Bajet 2020, tetapi tidak dilaksanakan sehingga kini.
Justeru, kami berharap ia akan dilaksanakan dengan segera tanpa sebarang kajian semula.
Pada masa sama, Cuepacs berharap kerajaan bersifat terbuka dalam membuka pintu rundingan dengan warga pekerja, terutama dengan kesatuan sekerja yang menjadi suara dalam menyalurkan segala permasalahan dihadapi.
Walaupun kerajaan menyatakan sangat menghargai penglibatan dan usaha penjawat awam dalam pembangunan negara, kami berasakan kerajaan menyempitkan pintu rundingan dengan pekerja.
Kerajaan adalah majikan kepada penjawat awam, kesukaran warga pekerja berunding sudah tentu mengakibatkan segala permasalahan dialami tidak dapat didengari.

Bagaimana pendapat Datuk mengenai pandangan segelintir pihak mengenai penjawat awam yang sering mendapat manfaat dalam setiap bajet kerajaan?
Baik orang politik, wakil badan bukan kerajaan, warga pekerja, pelajar universiti serta mereka yang masih belum bekerja mempunyai pandangan masing-masing mengenai Bajet 2022 dan Cuepacs meraikan setiap pandangan itu.
Ada juga pihak gemar membuat perbandingan mengapa kumpulan ini mendapat perhatian lebih daripada kerajaan dan kumpulan itu tidak pula mendapat perhatian sama.
Apatah lagi dengan situasi pandemik yang melanda negara hampir dua tahun ini mengakibatkan ramai pihak terkesan dan perlu dibantu oleh kerajaan.
Umumnya, penjawat awam selalu menjadi mangsa perbandingan oleh kumpulan tertentu yang sering tidak berpuas hati dengan apa yang diterima dalam setiap bajet kerajaan.
Sama seperti Bajet 2021, bajet kali ini juga kami tidak terlepas daripada pertanyaan berbentuk sindiran mengapa penjawat awam masih lagi diberikan perhatian walaupun tidak terkesan dengan pandemik Covid-19.
Cuepacs yakin, perhatian oleh kerajaan melalui apa yang diterima penjawat awam daripada Bajet 2022 adalah wajar.
Ini kerana, kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam, tambahan pula kami merupakan kumpulan yang bertanggungjawab bagi menjayakan segala inisiatif kerajaan untuk rakyat melalui perkhidmatan cemerlang.
Janganlah dilihat manfaat yang diterima oleh penjawat awam, tetapi lihatlah juga amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul mereka bagi memastikan setiap inisiatif dapat disampaikan kepada rakyat.
















