fbpx

BIMB terbit sukuk RM300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menerbitkan bahagian keempat Sukuk Murabahah Subordinat (Sukuk) bernilai RM300 juta di bawah Program Sukuk Murabahah bernilai RM10 bilion pada Jumaat lalu.

Program berkenaan, yang merupakan program sukuk kedua diperkenalkan BIMB telah menerbitkan bahagian pertama pada November 2019 melibatkan RM300 juta, diikuti bahagian kedua sebanyak RM400 juta pada Mac 2020 dan bahagian ketiga berjumlah RM700 juta pada Oktober 2020.

Sukuk tersebut dikategorikan sebagai modal kawal selia Aras 2 Bank Islam dalam mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) bagi Institusi Perbankan Islam oleh Bank Negara Malaysia.

Ia akan ditebus balik pada nilai nominal penuh setelah tempoh matang, dengan pilihan pembelian pada tahun kelima terbitannya dan menerima penarafan A1/stabil oleh RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings).

BIMB juga merupakan Penasihat Utama, Penyusun Utama, Ketua Pengurus dan Penasihat Shariah bagi Program Sukuk Murabahah tersebut.

Mohd. Muazzam

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menerbitkan bahagian keempat Sukuk Murabahah Subordinatnya.

“Sebelum ini kami telah menerbitkan Sukuk tersebut menerusi proses penetapan harga. Maklum balas yang diterima adalah positif dengan tempahan berada 2.32 kali lebih tinggi berbanding terbitan dengan harga muktamad sebanyak 4.1 peratus.

“Permintaan memberangsangkan yang diterima daripada pelabur menggambarkan keyakinan pasaran modal terhadap BIMB dan kemampanan jangka panjang perniagaan kami,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Muazzam menambah, hasil terbitan itu akan memastikan BIMB mempunyai modal yang melebihi keperluan minimum kawal selia.

“Langkah ini seterusnya akan memperkukuhkan usaha kami dalam menyediakan nilai kepada pelanggan, seiring dengan era baru BIMB sebagai sebuah bank Islam tulen yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Kami amat menghargai kepercayaan dan keyakinan pelabur terhadap Kumpulan BIMB dalam merangsang pertumbuhan dan meneroka masa depan yang lebih baik buat industri Perbankan Islam,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI