BOSTON, MASSACHUSETTS – Seorang lelaki yang kelihatan sihat dilaporkan berada dalam keadaan menggigil dan meracau secara tiba-tiba selepas seekor cacing pita mula memakan otaknya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Lelaki berusia 38 tahun itu terjatuh dari katil dan mengalami sawan teruk sebelum dikejarkan ke Hospital Besar Massachusetts.
Menurut laporan Ars Technica, semasa ketibaannya di hospital, doktor mendapati bahawa lelaki berkenaan mengalami sawan tonik-klonik selama dua minit yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri.
Dia bagaimanapun tidak mempunyai sejarah sawan atau sebarang gangguan kardiovaskular, pernafasan, gastrousus, genitouriner atau neurologi.
Satu-satunya punca yang boleh dikaitkan daripada hasil diagnosis adalah dia telah berhijrah ke Boston dari kawasan luar bandar Guatemala kira-kira 20 tahun sebelumnya.
Kajian yang dipetik daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan bahawa penyakit yang berkaitan dengan cacing pita babi dari Afrika, Asia dan Amerika Latin termasuk Guatemala akan menyebabkan sawan dan boleh mengakibatkan kematian.
Apabila doktor melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT) di kepalanya, lelaki itu didapati mengalami neurocysticercosis. Ini bermakna cyst larva daripada cacing pita babi itu telah bergerak ke beberapa bahagian otaknya beberapa tahun lalu.
Kebiasaannya, cacing itu akan membenamkan diri ke dalam otot perumah, atau dalam kes ini pada otak lelaki tersebut. – AgensiÂ
















