KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur mengesahkan sudah menerima empat laporan polis yang dibuat empat mangsa yang dipercayai terperdaya membeli alat permainan video, PlayStation 5 (PS5) daripada seorang individu.
Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, keseluruhan jumlah kerugian setakat ini berjumlah RM30,900.
“Kesemua mangsa terperdaya ketika membuat pembelian PS5 melalui satu akaun Instagram milik seorang lelaki.
“Mangsa terdiri daripada pelajar yang kerugian RM2,800, seorang ahli perniagaan (RM19,600), pegawai bank (RM2,800) dan pekerja teknologi maklumat (RM5,700),” katanya ketika dihubungi Kosmo! .
Sementara itu, di Pulau Pinang, individu yang didakwa menjual PS5 terbabit dikatakan turut membuat satu laporan di Balai Polis Kepala Batas malam kelmarin.
Lelaki itu bertindak sedemikian selepas beberapa individu pergi ke rumahnya untuk menuntut kembali wang.
Individu terbabit juga mendakwa, dia telah membuat pembayaran kepada pembekal PS5 di Kuala Lumpur sebanyak RM600,000, namun sebahagian stoknya mengalami kelewatan tiba di negara ini.
Difahamkan, lelaki itu juga sedang menunggu 2,000 unit PS5 daripada pembekal sebelum diserahkan kepada pembeli dan berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh dua minggu.













