PETALING JAYA – Pengumuman kerajaan untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalan rentas negeri pada 11 Oktober lalu dilihat mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila beberapa lokasi pelancongan kini kembali dibanjiri pengunjung setiap hari.
Bukan hanya pada hujung minggu, lokasi-lokasi tumpuan yang dahulunya sunyi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini sentiasa sesak dengan pengunjung yang sebelum ini boleh dikatakan seperti hampir tertekan akibat terpaksa berkurung di rumah.
Antara lokasi yang kerap menjadi sebutan dan tumpuan selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan adalah tanah tinggi Cameron Highlands yang menjanjikan suasana nyaman serta ketenangan terutamanya kepada warga kota.
Bagaimanapun, tinjauan di platform media sosial mendapati ada pengguna yang membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah pengunjung ke lokasi tersebut dan mendakwa terdapat risiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Menerusi satu ciapan di laman Twitter, seorang pengguna yang mendakwa dirinya ‘pekerja kesihatan’ memaklumkan bahawa ramai pengunjung yang pulang bercuti dari lokasi pelancongan tersebut hadir ke klinik dengan membawa kit ujian kendiri yang positif.
“Bukan nak takutkan. Saya kerja kesihatan, bermula semalam ramai yang baru balik bercuti dari Cameron datang ke klinik bawa kit ujian yang positif.
“Dan ramai juga yang bergejala balik dari Cameron. Crowded (sesak) sangat sana. Kalau boleh elak, elak lah dahulu kot naik sana,” ciapnya baru-baru ini.
Ciapan tersebut adalah sebagai membalas pertanyaan Selebriti media sosial, Khairul Amin Kamarulzaman yang ingin mengetahui sama ada Cameron Highland dibanjiri pengunjung ketika hujung minggu sahaja atau setiap hari.
Ciapan pengguna tersebut yang mendapat lebih daripada 5,000 ulang kicau turut menerima pelbagai maklum balas daripada pengguna platform media sosial itu yang turut bersetuju dengan dakwaan berkenaan.
“Yaaa saya baru potong gelang. Dua keluarga Positif Covid-19. Mungkin dijangkiti dekat Kea Farm sebab kat situ sesak dan sangat ramai orang,” balas @urnewboyy3.
“Betul, kawan mak aku pun positif lepas pergi sana (Cameron Highlands),” ujar @shahhhhh7
“Saya balik dari Cameron Jumaat lepas (5 November). Bermula daripada tu saya dan isteri selsema. Semalam ke klinik buat saringan. Nasib baik negatif. Tapi tu la. Selsema pun dah tak seronok, inikan lagi positive Covid-19,” cerita @zaileefd2.
Dalam pada itu, beberapa pengguna Twitter turut memberikan nasihat sama agar orang ramai menunggu dahulu keadaan semasa Covid-19 bertambah baik sebelum pergi bercuti ke mana-mana lokasi tumpuan pelancongan bagi mengelakkan risiko dijangkiti Covid-19.- K! ONLINE