fbpx
Gambar hiasan

Pelajar UiTM positif selepas hadiri program kepimpinan anjuran parti politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri program kepimpinan didakwa anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di sebuah resort mewah di daerah Alor Gajah, minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah telah menerima notifikasi daripada klinik UiTM Lendu berhubung seorang pelajar didapati positif Covid-19 hasil keputusan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen, kelmarin.

Rusdi Abd. Rahman

Ujarnya, selain itu lapan orang pelajar lain pula dilaporkan turut mengalami gejala jangkitan salur pernafasan atas (URTI) dan siasatan lanjut mendapati kesemua pelajar itu telah menghadiri satu program kepimpinan pada 3 hingga 7 November lalu.

“Kesemua sembilan pelajar terbabit telah menjalani ujian RT-PCR dan keputusan akan diketahui dalam tempoh terdekat.

“Hasil siasatan kita dapati, mereka ini telah menghadiri satu program kepimpinan di sebuah resort di Alor Gajah pada minggu sebelum pulang ke kampus berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, secara keseluruhan sekurang-kurangnya 45 orang pelajar telah menghadiri program tersebut melibatkan beberapa cawangan UiTM di negeri ini.

“Pelajar lain yang menjadi kontak kepada kes disyaki Covid-19 tersebut sedang dikenalpasti untuk diisolasi sebagai langkah awal mengekang penularan jangkitan.

“Beberapa kolej kediaman pelajar di UiTM Lendu juga telah diberikan notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 bermula 11 sehingga 20 November ini,” katanya.

Ujarnya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci oleh jabatan kesihatan.

“Orang ramai yang menjadi kontak rapat kepada mereka disarankan untuk kuarantin kendiri serta menghubungi Bilik Gerakan PKD Alor Gajah di talian 06-5566 390 untuk saringan kesihatan segera.

“Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected],” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN