fbpx

Hanya 500 daripada 10,000 masjid berpotensi tubuh koperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL FATTAH ABDULLAH (kiri) merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit di Lipis hari ini.

LIPIS – Usaha menubuhkan koperasi kariah masjid perlu terus diperhebat memandangkan hanya 500 daripada 10,000 masjid dan surau berpotensi yang telah menubuhkan koperasi kariah masjid setakat ini.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu penting memandangkan koperasi kariah masjid merupakan platform terbaik dalam membangunkan ekonomi umat Islam sekali gus mengembalikan kegemilangan institusi masjid.

“Kita lihat kalau ini (koperasi kariah masjid) dapat dibuat kita bukan sahaja dapat penglibatan serius masyarakat Islam menerusi platform koperasi kariah masjid untuk membangunkan ekonomi setempat tetapi juga memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

“Selain itu kita lihat koperasi ini merupakan platform terbaik bagi kita mewujudkan rangkaian bagi memasarkan produk-produk halal dan dalam masa yang sama kita boleh jadi pengeluar barang halal khususnya untuk masyarakat Islam,”katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Masjid Kampung Lubuk Kulit di sini, hari ini.

Menurut Abdul Fattah, koperasi kariah masjid yang terdapat pada masa ini dilihat amat signifikan dan praktikal seterusnya mampu menjana pendapatan kepada ahli terlibat.

Beliau memberitahu antara kegiatan ekonomi yang melibatkan koperasi kariah masjid pada masa ini termasuklah kedai runcit, pusat dialisis, kiosk, taska, pusat tuisyen dan sebagainya yang memberikan kemudahan kepada orang ramai khususnya umat Islam.

Dalam pada itu beliau berkata, Angkasa akan terus membantu dan memberikan sokongan kepada pihak masjid menubuhkan koperasi kariah dan melaksakan pelbagai aktiviti ekonomi dari semasa ke semasa.

Katanya, usaha juga akan dilakukan dalam membawa koperasi kariah ke peringkat global dengan cadangan mewujudkan gabungan koperasi kariah masjid sedunia dalam masa terdekat.

“Pada masa ini kita telah menubuhkan jawatankuasa koperasi masjid Malaysia yang akan menjadi konsortium bagi menghubungkan koperasi kariah masjid dan kita juga telah memperkenalkan koperasi kariah masjid sebagai produk antarabangsa,”ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI