BMW iX3 buat julung kali diperkenalkan di pasaran tempatan baru-baru ini. Menariknya, model ini didatangkan dengan dua varian yang boleh dimiliki peminat jentera tersebut iaitu Inspiring dan Impressive.
Kenderaan yang kini dibuka untuk pratempahan itu disifatkan sebagai model yang signifikan oleh Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.
Menurutnya, jentera elektrik itu bukan sahaja berkuasa, malah tidak berkompromi dari sudut prestasi serta keselamatan.
“Ketibaan BMW iX3 sulung ini benar-benar signifikan bersama dua varian yang berbeza. Model ini membekalkan kuasa pilihan kepada para pelanggan setia kami serta peminat mobiliti elektrik di Malaysia tanpa berkompromi dari aspek kuasa, prestasi mahupun ciri keselamatannya.
“Disertai barisan kenderaan BMW i lain yang akan menyusul, BMW iX3 yang sulung ini bakal melahirkan generasi pemilik kenderaan elektrik (EV) di Malaysia yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Hadir dalam varian Inspiring dan Impressive, kedua-dua varian merupakan jentera elektrik yang dilengkapi dengan pakej M Sport sebagai standard.

Perbezaan antara Inspiring dan Impressive cumalah melibatkan pada spesifikasi dan aksesori tertentu. Misalnya, Inspiring menggunakan rim bersaiz 19 inci, manakala Impressive menggunakan rim 20 inci.
Bagi peminat BMW iX3, tidak perlu bimbang kerana jentera ini merupakan model EV yang tidak kelihatan tipikal. Jentera ini dilengkapi dengan pakej rupa yang garang sekali gus tampil lebih ekspresif serta dinamik.
Dikuasakan oleh motor elektrik dengan bateri ion litium 80kWj, BMW iX3 boleh dipandu sejauh 461 kilometer berdasarkan rating Prosedur Kenderaan Ringan Harmoni Sedunia (WLTP).
Kuasa yang dihasilkan adalah 286hp dengan tork puncak 400Nm. Kuasa itu membolehkannya dipandu pada kelajuan maksimum 180 kilometer sejam (km/j).
Dengan kuasa tersebut juga, BMW iX3 boleh mencapai kelajuan 100km/j dari titik pegun dalam tempoh 6.8 saat sahaja.
BMW iX3 juga menyokong pengecasan DC segera dengan kadar setinggi 150kW untuk pengecasan sehingga 80 peratus dalam tempoh 32 minit.
Pengecasan AC dengan kadar setinggi 11kW pula disokong melalui sambungan Type 2 yang mampu mencapai kadar pengecasan sehingga 100 peratus dalam tempoh sekitar tujuh setengah jam.
Antara ciri keselamatan yang terdapat pada jentera berkenaan termasuklah Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) termasuk Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Selekoh (CBC) dan Sistem Brek Antikunci (ABS) dengan Bantuan Brek.
Bagi sistem connectivity pula, iX3 hadir dengan BMW Connected Package Professional dan BMW Connected Drive Services termasuklah Intelligent Emergency Call, Teleservices, Concierge Services dan Remote Services.
Jentera ini juga dilengkapi dengan Intelligent Personal Assistant, BMW Live Cockpit Professional, selain menyokong fungsi pengecasan telefon bimbit tanpa wayar. Turut hadir adalah 12 pembesar suara HiFi Harman Kardon.

Harga BMW iX3 di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM335,800 bagi varian Inspiring, manakala varian Impressive dijual pada harga RM354,800.
Kedua-duanya didatangkan dengan tawaran Servis Inklusif dan Pembaikan BMW Malaysia iaitu waranti lanjutan lima tahun dan pakej servis enam tahun, termasuk Power Package yang ditawarkan bersama BMW i Wallbox dan kabel pengecas standard BMW.
Para pemilik BMW iX3 yang sulung juga dapat menikmati tawaran waranti bateri lapan tahun dengan kadar perbatuan 160,000 kilometer.
Bagaimanapun, perlu diketahui, model dan varian BMW iX3 tertentu turut ditawarkan di pusat-pusat pengedaran bertauliah terpilih.
Salah satu daripada pusat pengedar tersebut adalah Auto Bavaria yang akan menawarkan pelbagai pilihan warna luaran untuk BMW iX3 M Sport dalam varian Impressive.
Warna-warna itu termasuklah M Carbon Black Metallic (hitam), Mineral White (putih), Sophisto Grey Brilliant Effect (kelabu) dan Cashmere Silver (perak), bahkan semuanya dilengkapi dengan kemasan dalaman kulit Vernasca dalam warna mocha dengan sulaman dekorasi berwarna hitam.

Pusat pengedaran Seong Hoe Premium Motors yang terletak di Melaka pula akan menyediakan BMW iX3 M Sport Impressive dalam warna putih dan kelabu. Kedua-duanya lengkap dengan kemasan kulit Vernasca tetapi dalam warna hitam berserta sulaman kontras dalam rona biru dan hitam.
Pengedar Quill Automobiles akan menawarkan BMW iX3 M Sport Impressive dalam warna hitam dengan kulit Vernasca dalam warna mocha berserta sulaman dekorasi hitam, manakala model berwarna putih dengan kulit Vernasca dalam warna hitam berserta sulaman berkontras rona biru dan hitam.
Pusat pengedaran Lee Motors yang terletak di Alor Setar, Kedah pula menyediakan BMW iX3 M Sport Impressive dalam warna putih dengan kemasan kulit Vernasca dalam warna mocha berserta sulaman dekorasi hitam.
Salah satu daripada empat pusat pengedaran utama yang menyediakan varian Inspiring, Ingress Auto pula menawarkan BMW iX3 Inspiring dalam warna kelabu dengan kulit Vernasca dalam warna mocha berserta sulaman dekorasi hitam.
Terdapat banyak lagi pusat pengedaran lain yang terlibat termasuklah Millennium Welt Seremban, Millennium Welt Batu Pahat, Millennium Welt Kuantan, Tian Siang Premium Auto dan Regas Premium Group.
Menerusi Pelan Balloon Financing daripada BMW Group Financial Services Malaysia, Inspiring dan Impressive masing-masing juga boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula daripada RM3,518 dan RM3,728.














