fbpx

Pengawal keselamatan maut, motosikal rempuh kerbau melintas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal dinaiki Amir Zailan yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 22, Jalan Al Muktafi Billah Shah - Pasir Raja, berdekatan Kampung Jongok Batu, Dungun semalam.

DUNGUN – Gara-gara seekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan, seorang pengawal keselamatan maut dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Al Muktafi Billah Shah (AMBS) – Pasir Raja, berdekatan Kampung Jongok Batu di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, mangsa, Amir Zailan Zazwi, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Shukur dari tempat kerja di sebuah lombong bijih besi di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini.

“Sebaik di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa gagal mengelak seekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan lalu merempuh haiwan itu.

“Impak daripada pelanggaran tersebut, mangsa telah tercampak dari motosikalnya sebelum mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala yang membawa kepada kematiannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, kerbau terlibat telah menghilangkan diri dengan memasuki kawasan semak berhampiran tidak lama selepas dilanggar.

Baharudin berkata, mayat Amir Zailan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI