fbpx

‘Nak jaga diri sendiri susah, apa lagi orang lain’ – MK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MK K-CLIQUE

SEGELINTIR anak seni bersikap kurang selesa untuk bercerita tentang hal peribadi terutama perihal cinta kepada umum. Alasannya, berdiri dengan status selebriti yang bersimbahkan cahaya populariti, bukan semua perkara perlu dicanang kepada dunia luar.

Buat penyanyi rap yang semakin dikenali dalam dunia lakonan, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak terlalu bercerita tentang hal peribadi.

Katanya, buat waktu sekarang, apa yang menjadi keutamaannya adalah orang sekeliling termasuk keluarga dan peminat yang sangat memberi dorongan serta sokongan terhadapnya untuk terus memberi sehabis baik dalam dunia seni tanah air.

Belum sedia kongsi ‘cinta’

“Saya sendiri pun masih terkontang-kanting apatah lagi nak jaga orang lain.

“Nak dirikan masjid atau berkeluarga bukan satu perkara yang mudah. Banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam diri ini.

“Saya nak kumpul duit untuk keluarga dan orang-orang sekeliling yang saya sayang terlebih dahulu. Keluarga di Sabah pun perlukan banyak bantuan terutama pada waktu sekarang disebabkan pandemik Covid-19,” katanya kepada HibGlam.

BELUM bersedia berbicara tentang isi hatinya, MK mahu memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu.

MK ditemui pada majlis pelancaran 2 Juta Bangkit Belajar PTTI minggu lalu di ibu negara yang menyaksikan dia dan rakan seperjuangan, penyanyi Iman Troye dilantik sebagai duta.

Diasak pertanyaan siapa wanita istimewa yang sedang bertakhta di hatinya ketika ini, MK, 25, memilih jalan selamat untuk tidak berkongsi terlalu mendalam tentang hal berkenaan.

“Buat masa sekarang, saya sedang dalam proses memperbaiki diri. Orang-orang sekeliling yang rapat, saya jaga perasaan mereka.

“Kalau orang tanya sama ada saya sudah berpunya atau belum, saya tak berani nak jawab. Saya nak perbaiki diri terlebih dahulu. Jadi lebih baik untuk diri sendiri, barulah untuk orang lain.

“Saya tak ‘single’, ramai penyokong (tertawa). Saya nak tonjolkan imej baik dahulu dan kemudian mungkin baru boleh masuk cerita yang seterusnya (cinta),” ujarnya berhati-hati.

Hasrat tersebut mahu dicapai MK kerana dia mengakui berasa malu dengan sejarah lampau. Ketika fasa mudanya suatu ketika dahulu, dia banyak tercicir dalam soal melakukan kebaikan.

“Malu kenapa tak jadi lebih baik dari awal tapi saya selesa dan sangat hargai keadaan sekarang. Insya-Allah, saya akan terus konsisten,” luahnya.

‘Syok’ berlakon

Meneruskan bicara, MK turut mengulas pandangan orang ramai yang menyifatkan dirinya sebagai ‘pelakon kayu’ menerusi penglibatan drama sulungnya, The Hotel.

Tidak melenting dengan kritikan tersebut, anak kelahiran Tawau, Sabah itu berkata, dia masih ‘hijau’ dan banyak lagi teknik lakonan yang boleh diperbaikinya pada masa akan datang.

MUZIK masih keutamaan, namun MK enggan menolak peluang yang ada di depan mata dengan menceburi dunia lakonan.

“Kritikan itu perkara biasa tapi saya tiadalah dikecam kayu. Mungkin perkataan yang sesuai adalah kurang berpengalaman.

“Perlahan-lahan, sekurang-kurangnya sekarang dah ada pengalaman. Nanti lama-lama keluar bunga dan daun daripada kayu yang dimaksudkan,” ulasnya berseloroh, namun penuh makna.

Mengulas tentang loghat Sabah pekat yang sepertinya agak sukar dihilangkan ketika bertutur, MK berpendapat, perihal tersebut tidak menjadi masalah buat dirinya dan mendapat kerjasama baik daripada pihak produksi.

“Ramai yang tegur loghat Sabah saya. Saya beruntung kerana dikelilingi orang-orang yang sangat memahami.

“Pihak produksi setakat ini beri keselesaan kepada saya untuk jadi diri sendiri. Tak mengapalah, janji orang faham dan saya pun masih baharu. Macam saya cakap tadi, perlahan-lahan. Tak perlu tergesa-gesa kejar sana sini,” ujarnya optimis.

DILABEL kayu ketika berlakon, MK tidak menganggapnya sebagai perkara negatif tetapi mengakui dia masih baharu dan perlu lebih banyak pendedahan.

Dalam pada itu MK turut memaklumkan, dia berasa sangat seronok dapat menceburi bidang baharu dan akan terus memperbaiki diri demi peminat yang sentiasa setia berada di belakangnya.

“Saya ambil kelas lakonan bersama Nabila Huda. Noki pun ambil kelas lakonan dengan dia. Apa pun, nyanyian tetap nombor satu. Rap merupakan jiwa saya. Tapi buat masa sekarang, kita ikut sahaja mana rezeki yang ada.

“Seronok sebenarnya berlakon sebab dapat kenal orang, jiwai watak dan keluar dari zon selesa. Kalau ada peluang untuk berlakon lebih banyak projek selepas ini, saya akan teruskan dan pertimbangkan,” tuturnya.

K-Clique tak berpecah

Diajak berbicara tentang K-Clique, penyanyi tinggi lampai itu mengatakan, dia dan tujuh rakannya dalam kumpulan itu tidak akan sesekali berpecah kerana itulah rumah mereka sejak mula bertapak dalam dunia seni.

“Tahun depan, K-Clique akan keluarkan album baharu. Buat masa sekarang, sudah ada 20 buah lagu dan kami masih dalam proses untuk menyiapkan album ini.

“Tiada istilah berpecah kerana saya sangat yakin bahawa kejayaan individu merupakan pencapaian berpasukan juga.

MK berbangga dengan kejayaan dan pencapaian setiap ahli K-Clique dan berharap prestasi cemerlang mereka terus dikekalkan dalam apa perihal sekali pun.

“Saya tak nafikan disebabkan Covid-19, banyak perkara yang tertangguh untuk K-Clique. Masakan tidak, nak buat persembahan pentas pun dah tak macam dahulu. Nak berkumpul pun, ada sahaja rintangannya.

“Tapi sekarang, situasi perlahan-lahan kembali pulih. Kita doakan sahaja yang baik-baik tapi yang pasti, K-Clique takkan berpecah sebab itulah rumah kami berlapan,” janjinya.

Disoal tentang kejayaan bersifat individualistik yang dikecapi segelintir ahli K-Clique, MK memaklumkan, tiada istilah cemburu antara mereka kerana semua tumpang bahagia dan gembira atas kejayaan semua orang.

“Kita sokong ‘kaw kaw’. Tak pernah ada perbandingan tentang siapa lagi hebat atau popular,” tutup MK yang mengidam menjayakan watak antagonis untuk projek lakonan akan datang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI