SHAH ALAM – Mengupah transporter mahir ditambah dengan kecekapan tekong ‘membaca’ pasang surut air laut menjadikan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) kembali rancak ketika ekonomi Malaysia yang merudum mulai pulih daripada cengkaman Covid-19.
Difahamkan, Malaysia kembali menjadi tumpuan PATI selepas kerajaan membuka semula sektor ekonomi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara.
PATI dari pelbagai negara khususnya Indonesia sanggup membayar RM1,500 seorang asalkan dapat menjejakkan kaki ke Malaysia secara haram untuk bekerja di pelbagai sektor yang sedia menunggu.
Seterusnya, mereka akan dikenakan pula bayaran antara RM200 hingga RM400 sebagai upah kepada transporter darat untuk membawa PATI ke lokasi yang ingin dituju.
Jika diserahkan kepada nelayan tempatan di tengah laut melalui sistem barter, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 dan perlu menyamar sebagai awak-awak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Mendedahkan kegiatan tersebut, Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, PATI lebih rela berdepan pelayaran berbahaya daripada masuk secara sah kerana enggan melalui pelbagai prosedur selain kos meningkat dua kali ganda.
Katanya, pembayaran itu berbaloi berbanding masuk secara sah yang memerlukan mereka mendapatkan permit atau pas pekerja.
“Risikan mendapati kira-kira 150 PATI bersiap sedia untuk masuk Malaysia melalui laut di Selangor setiap minggu dengan bayaran RM1,500 satu kepala.
“PATI ini pernah bekerja di sini dalam sektor pembinaan, perladangan dan peruncitan. Mereka telah pulang ke negara asal ketika Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, PATI sanggup menempuh laut bergelora ketika peralihan Monsun Timur Laut ketika ini yang membawa risiko lemas.
Menurut Mohd. Rosli, kebanyakan PATI diseludup dengan bot pom-pom yang boleh memuatkan antara 20 hingga 50 orang selain menggunakan bot pancung yang bergerak dari Pulau Rapat, Tanjung Balai dan Bagan Sia Api-Api di Indonesia.
“Penyeludupan bermula pukul 7 malam hingga 5 pagi mengikut kesesuaian air pasang surut selain menggunakan enjin berkuasa rendah bagi mengelak daripada dikesan radar.
“Ada juga PATI yang diseludup melalui bot sistem barter dengan menghantar mereka ke tengah laut sebelum dipindahkan ke bot nelayan tempatan dari kelas B dan C secara runcit atau kecil-kecilan,” katanya.
Katanya, setiap PATI akan menyamar sebagai nelayan sehingga tiba di daratan sebelum meneruskan perjalanan menggunakan pemandu e-hailing sebagai transporter yang tahu mengelak sekatan jalan raya.
“Kita pernah menangkap PATI yang dibawa dari Melaka ke Selangor untuk dihantar pulang secara haram.
“Ada juga PATI diturunkan lebih awal di hutan atau semak sebelum tiba di sekatan dan akan mengambil semula mereka di lokasi yang dirancang,” katanya.
Tambahnya, jika ditahan dan didapati bersalah, tekong akan dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 berbanding PATI yang hanya didakwa mengikut Akta Imigresen 1957/63.
Menurut Mohd. Rosli, sepanjang 2019 sehingga September tahun ini, pihaknya telah menangkap 152 PATI kebanyakan dari Indonesia berusia antara 12 hingga 60-an.
Tekong mahir tak guna jeti haram
SHAH ALAM – Tekong-tekong laut tidak menjadikan jeti haram untuk menurun atau mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) sebaliknya mahir ‘membaca’ pasang surut air laut untuk mengemudi bot ke pesisir pantai.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, apabila sampai di pesisir pantai, tekong akan mengarahkan kesemua PATI yang berjaya diseludup terjun ke laut sebelum dia menghilangkan diri.
Katanya, perkara yang sama dilakukan kepada PATI yang ingin pulang ke Indonesia melalui jalan laut.
“Setakat ini, kita mengesan 70 lokasi panas di Selangor yang dijadikan pendaratan haram PATI. Ia termasuk Pantai Remis dan Tanjong Karang di Kuala Selangor, Sekinchan dan Sungai Besar di Sabak Bernam, Klang, Pantai Morib dan Tanjung Sepat di Kuala Langat.
“Jarak Pulau Rapat dan Bagan Sia Api-Api di Indonesia ke Morib hanya mengambil masa selama sejam perjalanan,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, perjalanan tekong adalah secara dua hala iaitu menurunkan dan mengambil penumpang PATI di lokasi berlainan di negeri ini.
Menurut Mohd. Rosli, tekong tidak menurunkan PATI terlampau dekat dengan pantai bagi memudahkan mereka melarikan diri sekiranya aktiviti itu dikesan pihak berkuasa.
“Kita sentiasa menjalankan kerjasama dan perkongsian risikan dengan pasukan keselamatan dari Indonesia dalam memantau sebarang aktiviti penyeludupan masuk dan keluar migran daripada kedua-dua negara.
“Maritim Malaysia sebagai pasukan hadapan di perairan sentiasa menyekat dan mengagalkan cubaan masuk PATI yang merupakan penanda aras kepada kami selain mengekang penularan Covid-19 dan jenayah rentas sempadan,” katanya. -K! ONLINE
















