fbpx

Premis selenggara kenderaan, lepas sisa minyak ke sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai JAS Pulau Pinang melakukan siasatan di sebuah premis menyelenggara kenderaan komersial di Bukit Mertajam semalam.

SEBERANG PERAI – Sebuah premis yang menjalankan penyelenggaraan kenderaan komersial dan lori dikompaun RM30,000 selepas didapati menyebabkan pencemaran dengan melepaskan sisa minyak ke dalam Sungai Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini semalam.

Terdahulu, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang melakukan siasatan kira-kira pukul 11 malam kelmarin di sepanjang kira-kira 4 kilometer sungai itu mendapati terdapat kilauan minyak.

Siasatan itu dijalankan selepas JAS menerima aduan orang awam kira-kira pukul 9.20 malam.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan susulan semalam mendapati pelepasan buangan minyak tersebut adalah berpunca daripada premis berkenaan yang terletak berhampiran sungai.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pihak berkenaan gagal menyelenggara perangkap minyak dan pemisah minyak (oil interceptor) dengan baik.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati parit monsun di dalam kawasan premis turut dicemari oleh buangan minyak yang berpunca daripada oil interceptor, kawasan penstoran buangan terjadual dan ruang pembasuhan kenderaan berat.

“Tumpahan minyak juga dikesan di atas tanah berhampiran tangki diesel di dalam kawasan premis,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, premis itu juga didapati gagal menyediakan orang yang berwibawa bagi menguruskan buangan terjadual seperti kehendak Seksyen 49A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Sharifah Zakiah lagi, arahan serta-merta dikeluarkan pihaknya kepada premis berkenaan untuk menghentikan pelepasan buangan minyak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan dengan segera.

“Kompaun RM30,000 dikenakan ke atas syarikat tersebut kerana kegagalan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Notis Arahan menjalankan pembersihan di kawasan tercemar turut dikeluarkan selain premis diarahkan menjalankan kajian tanah tercemar serta menanggung sepenuhnya kos kajian dan pembersihan,” katanya lagi.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar boleh menghubungi pihaknya di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN