fbpx

Portal ‘sedut’ kaut untung atas angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BARU-BARU ini satu laporan khas muka depan akhbar Kosmo! bertajuk ‘Nekad naik motosikal 420km balik Kelantan’ telah disalin bulat-bulat sebuah portal kerajaan negeri dengan ditukar tajuk ‘Setahun hilang kerja, pemuda naik motor 420km balik kampung’.

Laporan khas itu yang ada di Facebook Kosmo! Online juga turut ada di laman sosial portal berkenaan dengan mendapat lebih 7,000 tanda suka dan 235 perkongsian.

Memang banyak perkongsian portal itu dapat berbanding dengan perkongsian asal di Facebook Kosmo! Online, itu adalah satu contoh salin berita orang lain dapat untung atas angin.

Perkara itu sangat tidak beretika seumpama juga memerah keringat orang lain tetapi orang lain yang dapat nama.

Kredit nama Kosmo! hanya diberikan pada hujung berita sebesar ‘hama’. Kalau tidak menggunakan kanta pembesar semua orang tidak nampak berita asal itu adalah daripada akhbar ini atau Facebook Kosmo! Online.

Itulah cabaran berita arus perdana sekarang ini apabila terlalu banyak portal ‘sedut’ dan menyalin bulat-bulat berita wartawan yang mencari berita dengan berpanas dan berhujan demi mengejar Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Setiap wartawan media arus perdana mempunyai KPI sendiri bagi berapa banyak berita muka depan, ekslusif setiap bulan dan sebagainya untuk kekal bekerja di sesebuah organisasi.

Jika tidak mencapai KPI berkenaan mungkin jawatan wartawan itu tidak akan disambung lagi.

Sedangkan pekerja portal ‘sedut’ hanya tahu menyalin berita orang lain setiap hari dan meletakkan kredit sebesar hama.

Maaf, penulis merasakan mereka tidak layak bergelar wartawan dan layak hanya dipanggil ‘pekerja sedut’ kerana kerja mereka hanya menyalin berita orang lain tanpa mempunyai sebarang kriteria seorang wartawan.

Kerja wartawan sebenarnya lebih mencabar dengan mencari sumber berita, temu ramah, mengarang berita dengan ayat-ayat yang sedap dan mudah difahami pembaca. Kerja wartawan bukan salin berita orang lain.

Ada sebuah lagi portal fiilnya lagi teruk apabila setiap hari pekerjanya hanya ‘menyedut’ berita semua media termasuk gambar orang lain.

Berita artis di media sosial misalnya tidak payah untuk dikarang semuanya ada di depan mata, tetapi berita itu pun tetap disedut bulat-bulat oleh portal berkenaan dengan mendapat beratus-ratus perkongsian.

Apabila portal mereka mendapat beratus-ratus perkongsian, rating portal berkenaan akan naik dan menjadi sasaran pengiklan. Oh! senang buat kerja atas keringat orang lain.

Berita asal yang dikarang oleh wartawan sebenar hanya berputih mata dan gigit jari. Itulah kerja portal dan pekerja sedut yang semakin banyak di internet.

Semoga pembaca dapat membezakan jauhari dan manikam, mencari sumber berita yang sahih dan diyakini dan bukannya portal sedut ambil untung atas angin. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI