fbpx

Barang tulen jual murah, itu muslihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
pembelian barangan menerusi platform online semakin popular dalam kalangan pengguna.

PETALING JAYA – Pengguna dinasihatkan untuk membeli barangan dalam talian dengan bijak supaya barangan yang dibeli dijamin tulen dan berkualiti.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pengguna juga diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan barang yang dijual pada harga terlalu murah.

“Pilihlah produk yang benar-benar tulen dan tahan lama, daripada beli barang tiruan dengan harga murah tetapi mudah rosak sekali gus mengakibatkan kerugian.

“Barang tulen kebiasaannya sukar untuk didapati pada harga rendah kerana secara asasnya ia melalui pelbagai proses untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.

“Dari situ, pengguna seharusnya tahu mengapa terdapat sesetengah produk dijual dengan harga yang mahal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Yusof berkata, pihak berkuasa bagaimanapun mungkin berdepan kesukaran untuk membendung penjualan barangan tiruan di platform online kerana pembeli biasanya akan menerima barangan yang dibeli terus daripada peniaga.

“Sekiranya ada premis atau kedai, mungkin mudah untuk pengguna meneliti dahulu barangan itu atau pihak berkuasa boleh membuat pemeriksaan dan mengenal pasti sama ada itu adalah barangan tiruan ataupun asli,” ujarnya.

Katanya juga, barangan tiruan turut mempunyai pembelinya yang tersendiri kerana wujudnya pengguna yang mahu menggunakan produk-produk tertentu tetapi dengan harga yang lebih murah.

“Ada pengguna yang memang tidak tahu mereka sudah terbeli barang tiruan, tetapi ada juga yang memang tahu barang yang dibeli itu bukan produk tulen.

“Disebabkan itu, dapat dilihat barang tiruan ini banyak dan mudah dijual terutama secara dalam talian kerana adanya permintaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI