fbpx

Persediaan sebelum anak ke PPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMENJAK program vaksinasi Covid-19 dilancarkan di Malaysia, kadar jangkitan penyakit itu dilihat semakin menurun.

Buktinya, semua negeri sudah pun keluar dari fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sembilan negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak sudah memasuki fasa tiga, manakala tujuh negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Labuan sudah memasuki fasa empat PPN.

Hari ini, kadar penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) juga sudah berada pada tahap sederhana berbanding setahun yang lalu.

Masyarakat di negara ini juga telah berjaya mencapai imuniti kelompok dengan peratusan populasi dewasa yang telah menerima suntikan vaksin lengkap dua dos mencapai sasaran dan melebihi 90 peratus.

Sejajar dengan peningkatan status vaksinasi penduduk Malaysia, penetapan pembukaan sekolah telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan,
Datuk Radzi Jidin baru-baru ini.

Walaupun sesetengah pihak menyambut baik pengumuman ini, namun segelintir ibu bapa menyuarakan kebimbangan mereka dengan
pembukaan sekolah ketika kes Covid-19 boleh dikatakan masih tinggi.

Ibu bapa berpendapat, selagi jangkitan Covid-19 masih berleluasa, keselamatan para pelajar terutama yang masih belum divaksin belum terjamin.

Mereka bimbang tentang kemungkinan anak-anak mereka dijangkiti dengan virus Covid-19 yang sehingga kini masih tiada rawatan khas ditemui. Apa yang ada hanyalah vaksin Covid-19 yang dapat mengurangkan kemudaratan jangkitan Covid-19.

Senario pengambilan vaksin bagi golongan remaja di dunia juga bukanlah suatu yang asing. Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, sejak Disember 2020 sehingga pertengahan Julai tahun ini mendapati menerusi pengambilan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan pemberiannya kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun, cuma 1 dalam 1,000 atau 9.246 kes remaja dilaporkan mengalami kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI).

Lebih 90 peratus daripada mereka mendapat kesan sampingan yang ringan seperti pening, sakit kepala, loya dan demam.

Kesan sampingan yang lebih serius yang dikesan ialah myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas pengambilan dos kedua vaksin Covid-19.

Justeru, mengambil kira faedah vaksinasi yang melebihi risiko kesan sampingan susulan imunisasi, kerajaan Malaysia juga telah membenarkan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebagai persediaan pembukaan sekolah dengan selamat.

Program suntikan kepada golongan remaja atau pelajar sekolah di negara ini telah dimulakan sejak 20 September lalu dan terus berlangsung sehingga kini.

Biarpun sudah menerima vaksinasi dan pembelajaran bersemuka kembali dipraktikkan di sekolah, murid-murid perlu diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19. – GAMBAR HIASAN

Dua jenis vaksin iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech dan CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn. Bhd. Malaysia telah diluluskan penggunaannya untuk vaksinasi remaja kerana didapati sesuai berasaskan data yang menunjukkan kesan sampingan susulan imunisasi yang rendah.

Kerajaan menyasarkan 60 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November 2021 dan 80 peratus lengkap dua dos vaksin sebelum sesi persekolahan tahun 2022.

Setakat ini dianggarkan lebih satu juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Mengikut laman web CovidNow, Kementerian Kesihatan memaklumkan, seramai 1,218,000 atau 38.7 peratus populasi remaja sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, manakala 79.7 peratus telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Sebanyak 156 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, integrasi dan sekolah di seluruh negara telah dikenal pasti untuk menyediakan pemberian vaksin kepada remaja.

Bagaimanapun, perlu diingatkan, ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama remaja untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi sebelum boleh menerima vaksinasi.

Ibu bapa juga dinasihatkan untuk mengawasi anak-anak supaya mendapat rehat yang cukup pada malam sebelum pengambilan vaksin, bersarapan dan minum air yang mencukupi sebelum ke PPV.

Ibu bapa, penjaga dan remaja itu sendiri perlu memberi perhatian kepada kesan sampingan susulan vaksinasi. Tidak semua orang mendapat
kesan sampingan dan tidak semua yang mendapat kesan sampingan akan memperoleh kesan sampingan yang sama.

Kesan sampingan ini merupakan tanda normal bahawa tubuh badan sedang membina sistem imuniti badan.

Kesan sampingan boleh mempengaruhi aktiviti harian tetapi kesannya akan hilang selepas beberapa hari menerima suntikan vaksin. Kesan sampingan yang biasa selepas divaksin termasuklah sakit di tempat dicucuk, letih, sakit kepala, sakit otot, demam, menggigil dan sakit sendi.

Ada juga kesan sampingan yang sangat jarang berlaku iaitu risiko radang jantung yang perlu diberi perhatian. Gejala yang mungkin dialami adalah seperti sakit dada atau tidak selesa pada dada, degupan jantung tidak tetap atau laju dan sesak nafas.

Selepas vaksinasi, pastikan anak anda tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh tujuh hari selepas divaksin bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini selepas vaksinasi.

Pastikan juga anak anda memaklumkan kepada anda dengan segera jika berasa tidak sihat atau tidak selesa selepas divaksin. Tarikh janji temu dos kedua juga perlu diambil perhatian agar tidak terlepas tarikh suntikan.

Tidak dinafikan, pembelajaran bersemuka di sekolah amat penting dalam meningkatkan tahap kecemerlangan individu.

Bagaimanapun, vaksinasi remaja tidaklah menjamin yang mereka tidak akan dijangkiti virus Covid-19.

Oleh itu, remaja perlu diingatkan agar sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bukan sahaja di sekolah tetapi di mana jua mereka berada.

Elakkan 3S iaitu sembang dekat, tempat sempit dan tempat sesak selain amalkan 3W iaitu wash (cuci), warn (amaran) dan wear (pakai pelitup dan pelindung muka).

Penulis, Dr. Nurulezah Hasbullah ialah Pensyarah Perubatan (Fisiologi), Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI