fbpx

Kisah ‘cerai’ Sajat, Vida tak ‘move on’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Vida dan Sajat

MENJADI manusia yang kaya, pelik, unik dan kemudian menggenggam erti kata popular dalam kamus kehidupan dunia ‘milik’ netizen hari ini menuntut satu tahap kebal yang bukan calang-calang.

Jika tidak kuat mental, hati tisu dan bertelinga nipis, jangan buat-buat untuk terlibat dalam kancah penghakiman terbuka panel juri yang kesemuanya netizen handalan. Jika berani menjual segala kelebihan mengisi konteks kemasyhuran dan menarik potensi pelanggan netizen, beranilah menadah hentaman.

Itu antara terpapar oleh Datuk Seri Vida yang kini hangat dibakar onar sendiri gara-gara mengikut kata hati – menerjah masuk ke rumah lelaki bernama Mohd. Iqbal Zulkefli, lelaki yang kini sudah menjawat gelaran dua ‘bekas’ dalam hidupnya,

Pertama ialah bekas pengurus peribadi dan sekarang menuju kepada bekas kekasih. Dalam kemarau jiwa, berdepan dilema cinta, asal dipuja kemudian disingkirkan, dengan air mata bersulam tempik ketawa, Vida selaku taikun bisnes tetap berniaga.

Penulis sebenarnya tumpang hiba melihat kesedihan Vida, sedetik kemudian, geli hati melihat kesungguhannya mempromosikan minyak wangi dengan harga runtuh sambil berharap pembelian istimewa pelanggan yang dijanjikan hadiah telekung membuahkan doa kudus dengan solat hajat memohon rahmat dipermudahkan segala urusan dan ketenangan buat dirinya dan Iqbal.

Dihujani kutukan tahap tak ada tapis-tapis, dianggap drama berantai tak habis-habis, Vida tak luak keyakinannya walaupun khalayak telah muak.

Dakwa Vida, kerosakan hubungan dengan Iqbal angkara ilmu hitam bertujuan menghancurkan kebahagiaan dan menjahanamkan perniagaannya. Itu yang mahu diselamatkan, bukannya menagih semula cinta Iqbal .

Bercakap tentang bahagia dan cinta, situasi Vida bertentangan dengan seorang lagi ‘wanita’ yang menggila mengundang perhatian ketika ini iaitu Sajat.

Seperti Vida, Sajat juga jadi bahan jenaka dek kedegilan memperjuangkan kehidupannya.

Bezanya Sajat ada kekasih hati yang selalu terlihat di sisi. Tak macam Vida, terlalu sukar untuk bahagia.

Pada saat teruji menjadi pelarian sejak diisytiharkan sebagai orang dalam buruan, Sajat, si wanita ‘jadian’ dengan nama lengkap Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman tetap ada lelaki yang setiap masa memanggilnya dengan panggilan ‘my beautiful’!

Dia barangkali lebih bahagia daripada sesetengah wanita lain, dia menjual bahagia meninggalkan banyak keaslian dalam diri, berkerat rotan melafazkan cerai tak mahu lagi berpaling semula ke tanah air sendiri.

Benar-benar bahagiakah Sajat? Wallahuaklam

Jadi, apa moral di sebalik kisah Malaysia yang ‘dicerai talak tiga’ oleh Sajat dan Vida yang kini dibenci dan ditinggalkan Iqbal.

Selain menjadi wahana jenaka masyarakat, keyakinan mereka yang kadang-kadang tak masuk akal itu luar biasa. Kasihan pun ada.

Apa pun, mereka akan terus bermain dengan perniagaan media sosial yang menguntungkan, kitalah yang kena memilih sama ada mahu jadi pembeli produk, pencerca sama naik atau sekadar ‘pengikut’ hiburan percuma buat alas mata sebelum lena.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI