PETALING JAYA – Golongan pekerja dalam sektor perhotelan di seluruh negara kini mampu menarik nafas lega apabila dipanggil semula bekerja oleh majikan mereka apabila industri pelancongan kembali rancak susulan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata pekerja hotel menyambut berita tersebut dengan penuh kesyukuran.
Namun, atas beberapa faktor antaranya komitmen bulanan yang tinggi terdapat segelintir pekerja perhotelan terpaksa menolak tawaran bekerja kembali.
Di Langkawi, seorang pekerja hotel lima bintang, Wilfred Stephen Charles, 25, berasal dari Pulau Pinang berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pelayan tetamu (butler) sejak tahun lalu dengan kontrak tamat pada Mei lalu.
“Bagaimanapun, pihak hotel ada memberitahu saya akan diberikan jawatan tetap apabila industri pelancongan dibenarkan beroperasi semula.
“Saya mula bekerja dengan jawatan tetap di hotel tersebut sejak pembukaan semula Langkawi bulan lalu.
“Saya lega kerana akhirnya dapat bekerja semula dan bersyukur diterima bekerja dengan jawatan tetap,” katanya.
Di George Town, Muhammad Amirul Safuan, 32, berkata, dia masih cuba bertahan sehingga kini walaupun pernah tidak memperoleh gaji selama dua bulan ekoran hotel ditutup semasa Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) pada April lalu.
“Saya bertahan saja walaupun amat terkesan kerana ada komitmen yang perlu dilunaskan dan hanya bergantung kepada bantuan RM600 melalui Program Pengekalan Pekerjaan semasa dicutikan tanpa gaji.
“Saya kemudiannya diterima bekerja sebagai duty manager di sebuah hotel lain sejak Mac lalu dan walaupun gajinya rendah, inilah situasi yang perlu dihadapi pekerja industri perhotelan hari ini,” katanya.
Bekas kakitangan sebuah hotel di Tanjung Bungah, Aznie Ruhil Hayati Mohd. Shaffie, 36, berkata, akibat pengalaman perit diberhentikan kerja ketika PKP tahun lalu dia terpaksa menolak tawaran jawatan sebagai pekerja sambilan.
“Saya ditawar bekerja semula, namun terpaksa menolak kerana jawatan pekerja sambilan tidak disertakan sebarang manfaat.
“Sejujurnya, saya masih menyimpan harapan untuk terus bekerja dalam bidang ini walaupun hanya memiliki pengalaman dua tahun bertugas di front desk.
“Buat masa ini saya menjalankan perniagaan online untuk meningkatkan pendapatan dan menunggu tawaran yang lebih baik kerana sudah selesa dengan bidang perhotelan,” katanya.

Di Terengganu, bekas pekerja hotel, Amirul Ashraf Amran, 28, berkata, walaupun masih belum dipanggil semula oleh bekas majikannya, dia tidak putus harapan dan masih berharap untuk kembali dalam industri itu.
“Sebahagian bekas rakan sekerja saya telah dipanggil untuk berkhidmat semula oleh bekas majikan tetapi saya belum ada rezeki,” katanya.
Di Lembah Klang, Nor Sharina Mohd. Taufiq, 22, berkata, dia bersyukur kerana pihak hotel kembali menerimanya bekerja setelah ‘direhatkan’ selama empat bulan.
“Pihak hotel membuat keputusan untuk ‘merehatkan’ saya semenjak Mei lalu dan pada bulan lalu mereka memanggil saya untuk datang bekerja,” katanya.
Sementara itu, ada juga pihak mengambil langkah drastik untuk menukar pekerjaan daripada sektor perhotelan demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Pekerja swasta, Nurrul Anis Sofea Mohd. Juakhir, 23, berkata, dia terpaksa berhenti kerja atas faktor komitmen bulanan walaupun majikan lamanya di sebuah hotel di ibu negara memberi peluang bekerja semula tahun lalu.
“Saya diberhentikan kerja pada April tahun lalu selepas pihak hotel tidak mampu bayar gaji dan saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung.
“Namun, pada Ogos tahun lalu, mereka ada memanggil saya untuk kembali bekerja, namun atas faktor bayaran gaji yang dipotong menyebabkan saya berhenti pada November,” ujarnya.
Kos sara hidup di ibu kota yang tinggi membuatkannya mengambil langkah drastik itu demi membayar segala komitmen.
“Alhamdulillah, pada Disember tahun lalu, saya dapat tawaran bekerja dari syarikat swasta, gaji ditawarkan juga memadai dan saya kekal sehingga kini,” katanya.
















