fbpx
AHMAD RUZMAN menjangkakan tempahan ibadah umrah akan bertambah berikutan pengumuman dibuat Perdana Menteri baru-baru ini.

Rentas negara, penyedia perkhidmatan umrah ‘bernafas’ semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANTARA perkhidmatan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 adalah mereka yang menjalankan penyediaan perkhidmatan umrah disebabkan kerajaan sebelum ini kerajaan Arab Saudi menutup pintu sempadan bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Kini syarikat berkenaan dan mereka yang berhasrat untuk mengerjakan ibadah umrah boleh menarik nafas lega apabila pihak kerajaan telah membuka semula sempadan negara selepas hampir dua tahun tidak boleh berbuat demikian.

Kolum Wawancara minggu ini membawakan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali yang membincangkan beberapa isu berkaitan SOP dan perkara berkaitan umrah dalam norma baharu pandemik.

Untuk kali ini selepas mengambil kira kenaikan kos yang berlaku harga terendah yang THTS boleh tawarkan bermula RM8,690 dan yang penting tiada caj tersembunyi dalam pakej lengkap itu.

————————————————————————————————————————–

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia ternyata memberi kesan yang amat besar dari segenap aspek termasuklah kesihatan, ekonomi, sosial dan lain-lain lagi. Bagi membendung penularan wabak tersebut, Malaysia sendiri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutup pintu sempadan negara.

Penutupan pintu sempadan negara juga telah menyebabkan industri pelancongan menerima tempias yang cukup besar.

Syarikat penyedia perkhidmatan umrah turut terkesan apabila tidak dapat membawa jemaah umrah mengerjakan ibadah tersebut di Tanah Suci.

Namun begitu, syarikat berkenaan dan mereka yang berhasrat untuk mengerjakan ibadah umrah kini boleh menarik nafas lega apabila pihak kerajaan telah membuka semula sempadan negara.

Pada 13 Oktober lalu dilaporkan kumpulan pertama jemaah umrah dari negara ini telah berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah tersebut.

Bagi membincangkan beberapa isu tentang kebenaran melaksanakan ibadah umrah, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali.

KOSMO! AHAD: Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkaitan pembukaan pintu untuk keluar negara disambut baik banyak pihak. Bagaimana Datuk melihat perkembangan ini dalam konteks ibadah umrah, mungkin ramai yang tidak sabar menantikan khabar gembira ini?

DATUK AHMAD RUZMAN: Sebagai pemain industri kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pihak kerajaan kerana telah mengambil semua pertimbangan untuk menggalakkan kembali ekonomi negara dengan membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap divaksinasi melakukan perjalanan merentas negeri dan keluar negara, tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kita merasa teruja dan bersyukur kerana ini memberi peluang kepada kami syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan umrah untuk bernafas semula.

Selain itu, pengumuman ini juga merupakan satu hadiah buat umat Islam di negara ini di mana mereka mendapat peluang mengerjakan ibadah umrah setelah hampir dua tahun tidak boleh berbuat demikian.

Ramai yang terkesan apabila pandemik Covid-19 ini melanda dunia dan ada yang saudara-mara mereka meninggal dunia, serta ada yang menjadi yatim piatu akibat wabak ini.

Keputusan terbaik daripada kerajaan ini amat bermakna kerana membuka satu ruang kepada umat Islam untuk menghadirkan diri di Tanah Suci yang merupakan tempat terbaik untuk mereka bermunajat dan mendoakan saudara-mara yang telah meninggal dunia kerana wabak ini, juga mendoakan kesejahteraan negara.

Antara perkara paling penting untuk diketahui jemaah umrah tentunya kos untuk mengerjakan ibadah tersebut pada ketika ini. Boleh Datuk kongsikan anggaran kos tersebut, mungkin ada sedikit kenaikan berbanding sebelum ini. Berapa harga pakej yang baharu yang ditawarkan?

Tidak dapat dinafikan dengan norma baharu kesan daripada pandemik Covid-19 ini menyebabkan kos untuk menunaikan ibadah umrah ini akan meningkat sedikit.

Kenaikan kos ini meningkat kerana pelaksanaan peraturan dan SOP baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi akibat pandemik Covid-19.

Komponen kos utama yang mengalami kenaikan adalah penginapan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan.

Pertama apabila pihak Arab Saudi mengehadkan dua orang sahaja untuk satu bilik hotel, ini akan menyebabkan kos penginapan meningkat kerana pakej tiga atau empat orang sebilik tidak dapat ditawarkan lagi.

Begitu juga makanan di hotel, dengan SOP yang dilaksanakan ada hotel yang tidak membenarkan jemaah menikmati hidangan yang dibawa dari katerer luar dan ini juga memberi impak dari segi kenaikan kos.

Begitu juga dengan pengangkutan apabila dihadkan kepada 50 peratus kapasiti penumpang sahaja.

Sebelum ini sebuah bas boleh memuatkan sehingga 50 orang tetapi apabila SOP baharu terhad kepada 25 orang, ini turut menyumbang kepada kenaikan kos.

Selain itu, terdapat pula kenaikan kos penjagaan kesihatan berkait dengan Covid-19 iaitu insurans serta ujian PCR di Tanah Suci.

Pada keseluruhannya, dijangka akan berlaku kenaikan kos antara 20 peratus hingga 30 peratus untuk pakej umrah kali ini.

Kenaikan kos dan seterusnya harga jualan pakej juga berbeza antara syarikat pengendali yang mana masing-masing akan menggunakan strategi tersendiri dalam mengawal kenaikan ini untuk menentukan harga pakej yang perlu dibayar oleh jemaah.

Untuk kali ini selepas mengambil kira kenaikan kos yang berlaku harga terendah yang kami boleh tawarkan bermula RM8,690 dan yang penting tiada caj tersembunyi dalam pakej lengkap kami, contohnya harga kami telah termasuk kos ujian PCR di Arab Saudi sebelum jemaah balik.

Sebelum berlaku pandemik Covid-19 ini pakej umrah yang paling rendah ditawarkan adalah sekitar RM6,000 lebih.

IBADAH umrah di Tanah Suci kini dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Bagaimana dengan prosedur yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi berkaitan hal ini? Adakah cukup dengan dua dos vaksin atau perlu mendapatkan dos ketiga atau dikenali sebagai penggalak untuk menunaikan ibadah umrah?

Berkaitan hal vaksin ini kita perlu patuh pada peraturan yang telah ditetapkan oleh negara tuan rumah sendiri iaitu Arab Saudi.

Syarat asas yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi adalah jemaah perlu lengkap dua dos vaksin yang dikeluarkan oleh Pfizer, Astra Zeneca, Moderna atau Johnson & Johnson.

Ramai rakyat Malaysia kini telah menerima vaksin Pfizer dan Astra Zeneca.

Bagi penerima vaksin Sinovac, Arab Saudi memperakui vaksin ini tetapi jemaah perlu mendapatkan dos penggalak daripada vaksin Pfizer, Astra Zeneca, Moderna atau Johnson & Johnson tidak kurang dua minggu sebelum tarikh berlepas.

Kita sebagai pemain industri masih menunggu hala tuju dari Kementerian Kesihatan Malaysia tentang pemberian dos penggalak ini dan kami berharap jemaah yang ingin mengerjakan umrah akan diberi pertimbangan untuk mendapat dos penggalak seperti mana syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dalam hal berkaitan vaksinasi.

Setakat ini berapa ramai umat Islam yang sudah mendaftar dengan THTS untuk melakukan ibadah umrah dan adakah mereka yang mendaftar sebelum pandemik Covid-19 melanda masih berada dalam senarai menunggu?

Pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 ini melanda, kita telah menguruskan sebanyak 16,292 jemaah yang mengerjakan ibadah umrah.

Apabila pandemik Covid-19 melanda, kami masih menjalankan pemasaran berdasarkan garis panduan yang ditetapkan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Sepanjang tempoh itu, THTS telah menerima 10,000 pertanyaan umrah untuk musim 2021 dan 2022.

Selain jumlah itu, terdapat seramai 1,400 orang telah membayar deposit sebelum pandemik melanda sebagai tanda kesediaan untuk mengerjakan ibadah umrah.

Mereka memilih untuk mengekalkan deposit itu dengan kami walaupun kami menawarkan pembayaran balik penuh.

Kami menjangkakan selepas ini tempahan untuk melaksanakan ibadah umrah ini akan bertambah berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Adakah kerajaan Arab Saudi mengenakan kuota kepada mereka yang ingin mengerjakan umrah dari Malaysia. Kalau ada berapa ramai yang boleh berbuat demikian pada kali ini?

Untuk mengerjakan umrah tiada kuota yang dikenakan ke atas negara-negara. Kerajaan Arab Saudi hanya mengehadkan bilangan jemaah yang mengerjakan tawaf umrah pada setiap hari di mana berdasarkan maklumat terkini, kerajaan Arab Saudi telah mengehadkan bilangan jemaah yang mengerjakan tawaf umrah sehingga 100,000 jemaah setiap hari.

Kami menjangkakan angka ini akan terus bertambah. Bagi mengawal bilangan tersebut, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan tarikh dan waktu tawaf Umrah setiap jemaah sebaik sahaja visa umrah diluluskan.

Apakah persiapan yang telah dibuat oleh pihak THTS bagi memastikan kelancaran operasi untuk memudahkan urusan ibadah umrah umat Islam selepas pengumuman pembukaan sempadan negara itu?

Pertama sekali apa yang kita lakukan adalah memperbaharui perjanjian kami dengan operator Umrah di Arab Saudi, seperti yang diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Selain itu, kita juga telah mencuba sistem online Arab Saudi bagi mendapatkan visa umrah dan kita telah berjaya mendapatkannya.

Kini Arab Saudi juga mewajibkan kita menggunakan medium online untuk tempahan pengangkutan dan juga penginapan.

Ini bermakna, apabila kita memohon visa umrah, kita juga perlu melakukan tempahan tempat tinggal dan pengangkutan secara online dan bayaran juga perlu dibuat dengan menggunakan dompet elektronik atau e-wallet dan kita telah bersedia untuk semua itu.

Kita juga mempunyai anggota tetap dan petugas operator umrah yang telah bersedia di sana untuk menyambut jemaah yang ingin mengerjakan umrah dalam tempoh terdekat ini.

AHMAD RUZMAN bersyukur kerana syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan umrah dapat bernafas semula.

Adakah jemaah umrah perlu dikuarantin terlebih dahulu apabila tiba di Arab Saudi sebelum dibolehkan mengerjakan umrah?

Alhamdulillah, buat masa kini Arab Saudi tidak mewajibkan kuarantin untuk jemaah umrah yang tiba di negara itu. Tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan.

Sekiranya Arab Saudi melaksanakan kuarantin kita juga sentiasa bersedia dan tiada tambahan kos akan dikenakan kepada jemaah yang mengambil pakej dengan kami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN