fbpx

Kak Ani dan Hari Sukan Negara 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SAMBUTAN Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di seluruh Malaysia cukup meriah meskipun dilaksanakan dengan norma baharu susulan negara masih dilanda Covid-19.

Bagaimanapun, pandemik tidak menghalang pelbagai acara sukan dilakukan di peringkat masing-ma­sing termasuk berbasikal, joging, jalan kaki, golf, badminton, bola sepak dan banyak lagi.

Apa yang menarik perhatian penulis pada HSN 2021 bukan kepada acara sambutan, sebaliknya tumpuan ke arah rencana KBS untuk melaksanakan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara melibatkan atlet, belia, masyarakat, rakyat dan negara.

Mungkin sebelum ini ramai memandang sepi perihal sukan. Pada mereka sukan tidak lebih daripada ahli sukan, atlet dan peminat apatah lagi jika disua kepada kaki bangku, memang sukan tiada dalam kamus mereka.

Sebenarnya, tidak boleh salahkan golongan itu kerana masih ramai yang tidak sedar bahawa sukan itu mampu menjadi suatu industri menjana pendapatan ekonomi cukup besar kepada diri dan negara keseluruhannya.

Mengambil contoh Kak Ani, dia bukan atlet apatah lagi peminat sukan. Kak Ani hanya seorang peniaga kecil yang menjual karipap, keropok lekor dan pisang goreng. Apa yang dilakukan oleh Kak Ani adalah berniaga di tepi padang atau taman rekreasi bahkan stadium.

Keberadaan Kak Ani di venue sukan tatkala orang lain bersukan atau hadir menyaksikan sukan pastinya akan memudahkan komuniti tersebut singgah membeli jajan atau air minuman. Maka berlaku penjanaan pendapatan disebabkan elemen sukan. Ini sekadar contoh.

Bayangkan sekiranya rakyat Malaysia membudayakan sukan dengan setiap kejiranan menganjurkan perlawanan badminton, futsal, sepak takraw, maraton pada hujung minggu, sudah pastinya peniaga seperti Kak Ani akan beroleh pendapatan.

Selain peniaga kecil, sebenarnya banyak lagi segmen sukan yang mampu dijadikan industri dalam melonjak ekonomi diri dan negara, namun perlu dilakukan pada skala lebih besar.

Antaranya menjadi seorang atlet profesional, pengeluar produk sukan (peralatan, kasut, jersi), menyediakan kemudahan/infrastukur (pengurusan, pembinaan, reka bentuk), syarikat pengurusan atlet, kolej atau sekolah tinggi sukan dan penganjuran sukan outdoor.

Selain itu, pengurusan pendidikan sukan, penajaan, pengiklanan, pelancongan sukan, undang-undang sukan, media sukan (TV, internet, radio, telefon pintar), hak penyiaran, pemasaran serta banyak lagi.

Bagi atlet profesional pula, mereka sudah boleh berjinak-jinak dalam industri sukan sama ada menggunakan populariti diri untuk mencipta jenama atau produk sementelah nama masih harum mewangi dalam kalangan peminat.

Selain itu, atlet yang sudah bersara atau sesiapa sahaja boleh melibatkan diri dengan pengurusan sukan (pengurusan pernigaan sukan) kerana ia salah satu kerjaya terbesar di dunia.

Apa tidaknya, di mana sahaja sukan dianjurkan, terdapat ramai yang terlibat seperti menyelaras, mengurus, melayan, menyiarkan, merasmikan, membina, fasiliti, kewangan, promosi dan menjayakannya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI