fbpx

Elak bawa balik virus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

BERITA mengenai kebenaran rentas negeri sejak Isnin lalu masih menjadi topik perbualan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Manakan tidak, selepas hampir 10 bulan ‘dipenjara’ tanpa tembok besi, kini rakyat kembali bebas untuk menjalani kehidupan yang dirindui sebelumnya seperti sediakala.

Ibarat Hari Raya Aidilfitri. Itulah apa yang dirasai masyarakat di negara ini tanpa mengira kaum mahupun latar belakang.

Semuanya gembira dan tersenyum tatkala mendengar khabar gembira yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

Tanpa melengahkan waktu, ramai yang mula membuat persiapan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing selepas ‘lampu hijau’ dinyalakan tepat pukul 12 tengah malam, 11 Oktober lalu.

Tidak kira ke utara, selatan, timur dan barat, semua rakyat yang sudah lengkap divaksin mula bergegas pulang ke kampung bagi bertemu dengan mereka yang tersayang.

Pastinya peluang keemasan yang diberikan ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi perantau di kota seketikanya berada di kampung halaman.

Namun, harus diingat supaya sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan jangan ‘tersangkut’ di pagar kampung sebaik tiba.

Bagi pakar kekeluargaan yang juga Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud, peluang dan ruang yang diberikan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bersama anggota keluarga tersayang.

“Peluang dan kesempatan yang ada ini, gunalah sebaik mungkin bersama insan yang disayangi. Berilah masa untuk rapatkan semula hubungan sila­turahim yang hampir ‘putus’ ini.

“Pun begitu, sentiasalah beringat dan jangan sesekali kita alpa dan sambil lewa akan virus pandemik Covid-19 yang masih mengganas dan mencari mangsa hingga ke detik ini,” katanya.

Tambah Fatimah, sebelum pulang ke kampung, ambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan persampelan air liur secara kendiri selain memastikan tahap kesihatan dalam keadaan memuaskan.

“Jika bergejala seperti demam, batuk, sesak nafas mahupun sele­sema, lebih baik tangguhkan dahulu perjalanan yang dirancang agar tidak menyebabkan masalah di kemudian hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah menjaga SOP sebelum rentas negeri dilakukan.

“Orang ramai digalakkan buat ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan. Jangan lakukan perjalanan jika rasa tidak sihat dan bergejala.

“Masyarakat juga wajar me­ngelak daripada melakukan aktiviti atau perjalanan secara serentak dan elakkan berkumpul dengan keluarga besar untuk melakukan sebarang aktiviti sosial,” tegasnya.

Akhiri Marzuki, gunalah peluang yang ada ini sebaik mungkin di samping mematuhi segala SOP yang ditetapkan agar kes harian dan kematian Covid-19 terus dapat dikawal.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI