fbpx
Gambar hiasan

Bekalan air akan disalurkan mulai 5 petang esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kerja-kerja penyenggaraan aset-aset utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dijangka siap pukul 11 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata, kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal itu telah dimulakan pukul 9 pagi tadi mengikut jadual telah diumumkan pada 1 Oktober lalu.

Katanya, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula pukul 5 petang esok setelah sistem bekalan air telah distabilkan.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pukul 9 malam, Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.

Air Selangor menambah, bantuan air alternatif disediakan melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

“Penggguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” katanya.

Sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula hari ini.

Tujuh wilayah itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Gangguan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas LRA SSP1.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan kawasan itu melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. -K! ONLINE

POPULAR